Saturday 28 November 2009

Pengetahuan: Pengenalan Kepada Jam Tangan

Setiap orang pasti mempunyai satu jam tangan. Untuk mengetahui waktu, kita tidak dapat lari daripadanya. Selain dari jam tangan; kita boleh ketahui waktu dari telefon mudah alih kita, jam dinding di dalam bilik, atau pada dashboard kereta. Kalau tiada langsung, tanya sahaja kepada sesiapa yang mempunyai alat pemberitahu waktu ini. “Brader, pukul berapa sekarang?”.

Sebagai peminat dan pengumpul jam tangan, saya dapati banyak artikel-artikel di Internet, buku-buku, dan majalah mengenainya yang boleh kita pelajari. Semuanya dalam Bahasa Inggeris.Setelah belasan tahun mengenali dan mencintai jam tangan sebagai satu hobi, saya terpanggil untuk menulis blog mengenai jam tangan ini dari sudut “horology” dan budaya yang wujud di sekitarnya. Apatah lagi, sehingga kini saya belum lagi terjumpa buku-buku atau majalah mengenai jam tangan atau pengetahuan horology di dalam Bahasa Malaysia. Kalau ada pun, cuma dari penulis-penulis blog dari saudara-saudara kita di Malaysia dan Indonesia (akan saya senaraikan kemudian untuk rujukan bersama). Blog-blog ini lebih fokus kepada review dan jualan jam tangan mahupun jam poket dan jam meja (desktop clock atau desk clock).

Ada orang pakai jam tangan pasal dia nak tahu waktu – betul. Ada orang pakai pasal status! Ada orang pakai jam tangan pasal ia adalah "fashion and accessories" yang perlu ada pada seseorang. Ada yang beli jenama mahal kerana "investment" – jam edisi terhad dan unik umpamanya. Ada pula yang beranggapan jam tangan itu walaupun mahal memang ada harga jual (resale value) semula, terdesak boleh gadai! Orang beli jam tangan baru. Ada orang suka jam second hand... ha ha ha, macam aku lah! Ada yang suka jam antik – vintage. Sah, aku kategori ni la jugak... Ada pulak yang nak melaram, pakai jam tiruan (fake watches) tak kira la dia kata 1st grade copy, AAA, replica, Japanese movement, enjin Swiss, Swiss grade, Petaling Street mariiii, dan bermacam-macam kategori. Ada pula segelintir yang membeli jam kerana tema pada jam tangan itu (themed watches). Orang kaya, orang ada duit, pakai jam mahal – jam jenama mahal. Tak semestinya, kekadang orang kaya pun pakai jam tangan tiruan! Aku yang tak seberapa ni nak jugak jam berjenama, aku pakai second hand pun tak apa. Amat menarik sekali!

Amat menarik sekali... memang menarik. Kerana itu lah ada ramai orang yang suka memiliki pelbagai jam tangan – tidak semestinya dia seorang pengumpul (collector). Ada pulak memang boleh dipanggil sebagai gila jam! Extreme, tetapi memang ada. Persoalannya sekarang, sejauh mana kita mengetahui perkara-perkara yang patut kita tahu mengenai jam tangan? Jika orang minat kereta. Mereka pasti tahu tentang kereta. Kereta jenis apa? Bagaimana enjin berfungsi dan bagaimana membaikinya? Nak servis di mana?

Begitu juga jam tangan. Jika anda pengumpul dan pencinta jam tangan, sudah pasti anda ingin mengetahui ilmu mengenainya (horology). Tidak rugi mempelajari sesuatu yang kita minat. Orang panggil dial kita panggil tanah! "bang.. bang, jam yang saya nak jual ni tanah dia warna biru... cantik lagi". Orang panggil shoulder kita panggil telinga! "Sorry la bang, tali besi ni tak bole nak pasang la. Dia punya telinga tinggal satu je!". Ha ha ha... macam-macam panggilan. Memang orang Malaysia kaya dengan bahasa. Tidak mengapa, ini cara kita. Namun eloklah kita pelajari asas-asas mengenai jam tangan.

Dengan sedikit pengetahuan yang ada, saya akan cuba membawakan tajuk-tajuk mengenai asas jam tangan dan tips-tips mengenainya untuk dikongsi bersama. Saya juga sedia menerima komen-komen daripada anda. Lebih meriah. Tick... tick... tick...


"Sir, watches sir.. Mam, watches for you mam?". Petaling Street atau pun PS Boutique syurga jam tiruan di Kuala Lumpur. "Ehh, gua suka, gua punya pasal la"... "Lolex, yaa.. we got lolex".

"Murah atau mahal. Berjenama atau cap ayam, ori atau tiruan... jam tangan perlukan sedikit ilmu oleh pemiliknya. Baru berbaloi. Ada jam harga tiga empat ratus, tapi engine yang dia pakai sama dengan lima puluh ringgit! Ada ke? Ada... Kalau minat, banyak boleh dipelajari. Dunia jam, atau bahasa sainsnya dunia Horologi memang mengasyikkan. Ikuti siri-siri seterusnya mengenai pengetahuan asas-asa jam tangan." - thetick-thetick
[Semak dan susun semula 18 Julai 2020]