Friday 22 October 2010

Tick-Talk: Movement ETA Swiss dan Miyota Japan

“Jam Chronoforce GP pakai enjin Jepun. Bagus ke? Ironinya, ramai yang beli jam tangan pasal minat pada design dan jenama. Tapi tak ramai yang tahu apa yang ada dalam case jam tu. Tak ramai tahu yang jam harga mahal-mahal tu kekadang enjin dia puluhan ringgit aje. Ni apa cerita ni bro? Biasa la, Proton Saga lama, Wira, dengan Waja kan pakai enjin Mitsubishi! Kereta Malaysia kan?!! Nak pakai enjin BMW pun bolehhhhh…”- thetick-thetick.

Swiss Haute Horlogerie
Dalam kamus industri pembuatan jam dari Switzerland, 'haute horlogerie' adalah merujuk kepada pengeluar jam tangan yang membangun dan mengeluarkan kesemua komponen-komponen utama (main components) jam tangan di dalam firma itu sendiri tanpa menggunakan bahagian-bahagian (parts) daripada pengeluar lain. Semuanya dibuat in-house dari sekecil-kecil screw sehinggalah sebesar-besar casing jam. Jenama-jenama haute horlogerie yang terkenal adalah seperti Patek Philippe, Blancpain, Jaeger Le-Coutre, Audemars Piguet, Vacheron Constantin, Ulysse Nardin, Piaget, Zenith, Roger Dubois, Franck Muller dan segelintir lagi yang tertumpu di sekitar bandar Geneva, Bienne, Besel, Le-Locle, Neuchatel, dan Schaffhausen di Switzerland. Rolex adalah salah satu haute horlogerie terkenal dari Geneva.

Calibre 3185, in-house movement oleh Rolex.

Swiss Manufacture, ETA, dan Swiss Made
Selain dari haute horlogerie, pengeluar-pengeluar jam tangan Swiss yang lain dan berbagai jenama (Swiss Manufacture) bergantung kepada ebouche atau base movement untuk pembuatan produk-produk mereka. Hampir 80% pengeluar-pengeluar jam tangan di Switzerland bergantung kepada ETA (ETA Montres S.A.) – pengeluar ebouche terbesar dari Switzerland yang pastinya amat kurang diketahui oleh pemilik jam tangan jenama Swiss itu sendiri! Kebanyakkan kita mengenali jenama seperti Omega, Tissot, Longines, TAG Heuer, Oris, Hublot, Fortis, Swatch, dan Breitling. Ada banyak lagi jika ingin disenaraikan di sini. Pengeluar-pengeluar seperti ini menggunakan ebouche atau base movement yang dikeluarkan oleh ETA. Ada pula yang menukar bahagian-bahagian kritikal di dalam ebouche ETA seperti mainspring barrel, regulator, escapement mechanism, balance wheel, hairspring, dan winding system kepada module atau parts rekaan sendiri yang dikatakan mampu memberi ketepatan (accuracy) yang lebih baik. Movement-movement ETA yang diubahsuai (improved atau modified) ini selalunya akan dinamakan dengan nama lain oleh pengeluar-pengeluar jam tangan itu sendiri.

Omega Calibre 2500, berdasarkan ebouche ETA 2892-A2 (Gambar kecil)

Selain ETA, pengeluar-pengeluar di Switzerland turut bergantung kepada Ronda Ltd. yang merupakan saingan kepada ETA. Selain dari ETA dan Ronda, pengeluar-pengeluar jam tangan elit turut bergantung kepada pengeluar-pengeluar mahir (specialist manufacture) seperti La Jour-Peret, Pesseux, Dubois-Depraz, Soprod, A. Schild, Nouvélle Lemania dan beberapa specialist lain. Sebagai contoh, Panerai menggunakan movement ETA Unitas 6497 yang menggunakan hairspring pada balance wheel yang dibuat oleh Soprod. Begitu juga Hublot yang menggunakan barrel (main spring) yang dinaik-taraf (upgrade) oleh Dubois-Depraz untuk movement ETA Valjoux 7750. Kesemua pengeluar haute horlogerie, Swiss manufacture, dan specialist manufacture ini berpusat di Switzerland, dan jam-jam tangan yang di buat di sana mendapat pengiktirafan SWISS MADE.

 Chronoswiss menggunakan ebouche ETA. Signature SWISS MADE (Dalam bulatan).

Penghujung tahun 1990an sehingga pertengahan tahun 2000 menyaksikan banyak pengeluar-pengeluar jam tangan elit dari negara Amerika, Itali, Perancis, German dan England memindahkan kilang-kilang mereka ke Switzerland kerana kekuatan yang ada pada pengiktirafan SWISS MADE. Pengeluar-pengeluar ini adalah seperti Ball, Panerai, Graham, Mont Blanc, Louis Vitton, Hermes, Bvlgari, Hermes, Chanel dan beberapa lagi jenama fashion elit yang berpusat di Paris, Perancis.

Movement lama Panerai menggunakan Unitas 6497 sepenuhnya. Yang terbaru menggunakan Soprod balance wheel hairspring dan dilengkapi Swan Neck Regulator.

Info: Cetakan SWISS MADE (signature) biasanya dicetak di atas dial jam di kedudukan marker pukul 6. Adakalanya bandar di mana ia diperbuat contohnya IWC Schaffhausen, Tissot Le-Locle, Patek Philippe Geneva, Zeno Watch Besel, dll turut dicetak di atas dial bagi menunjukkan signature sesuatu jenama.


Citizen-Miyota (Miyota Co. Ltd. Japan)
Ramai orang memakai jam tangan jenama Citizen. Akan tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang Miyota dari negara Jepun. Miyota, seperti ETA dan Ronda adalah pengeluar movement-movement jam tangan mekanikal dan quartz. Pengguna utama movement buatan Miyota adalah syarikat bersekutunya iaitu Citizen Watch Co. of Japan. Kesemua keluaran jam tangan mekanikal Citizen menggunakan movement Miyota. Model Eco-Drive pula menggunakan movement quartz Miyota yang diintegrasikan dengan module khas untuk menyerap tenaga cahaya, ditransformasi dan disimpan sebagai kuasa bateri jam tangan ciptaan Citizen. Citizen turut membangunkan 'digital-analogue movement' sendiri yang mana tidak dikeluarkan oleh Miyota. Citizen hanya menggunakan Miyota untuk model-model tertentu. Q&Q, jenama kedua (subtitute brand) kepada Citizen menggunakan movement quartz Miyota sepenuhnya untuk model-model keluarannya.

 Citizen Cal8200 adalah Miyota Cal8215. Cuma rotor plate diubah.

Selain untuk kegunaan model-model keluaran Citizen dan Q&Q, Miyota turut menjual movement-movementnya kepada pengeluar-pengeluar lain di serata dunia. Casio, salah satu pengeluar jam tangan dari Jepun turut menggunakan movement Miyota OS10 dan OS20 terutamanya untuk model-model analogue dan analogue-chronograph.

 Miyota OS10, movement chronograph quatz register 60 saat, 60 minit, dan 12jam dan haribulan. Konfigurasi dial yang biasa kita lihat pada jam-jam berjenama seperti Nautica, Fossil, dan Guess.

Swiss Movement dan Japan Movement
Pengeluar-pengeluar jam tangan bukan hanya berpusat di Switzerland dan Jepun tetapi turut berada di Amerika Syarikat, Itali, Perancis, India, Hong Kong, Denmark, Sweden, German, dan negara-negara lain. Hampir kesemua pengeluar-pengeluar ini bergantung kepada ETA, Ronda, dan Miyota. Di Negara Rusia, disamping menggunakan 'Russian Movement', pengeluar-pengeluar jenama elit di sana seperti Poljot International turut menggunakan ETA dan Ronda. Hanya segelintir pengeluar German yang mengeluarkan movement sendiri seperti A. Lange & Sohné, Union Glashütte, dan Glashütte Original. Yang lainnya menggunakan ETA, Ronda, dan Miyota.

Pengeluar-pengeluar jam tangan yang menggunakan movement-movement ETA, Ronda dan Miyota biasanya akan mencetak (signature) SWISS MOVT atau JAPAN MOVT pada dial jam tangan keluaran mereka. Jenama yang menggunakan SWISS MOVT lebih mendapat perhatian kerana menggunakan movement dari Switzerland yang majoritinya dikeluarkan oleh ETA. Sementara JAPAN MOVT pula dimonopoli oleh Miyota.

Jenama Invicta dari Amerika Syarikat banyak menggunakan movement ETA dan Miyota. Dari segi teknik pemasaran, Invicta biasanya menggunakan dua jenis movement yang berlainan – satu Swiss dan satu Jepun untuk sesuatu model bagi memberi pilihan harga kepada pembeli. Biasanya SWISS MOVT berharga lebih tinggi. Ini boleh juga kita lihat pada barisan produk-produk jenama fesyen seperti Guess dan Nautica. Product Guess Collection (GC) lebih berharga tinggi kerana menggunakan SWISS MOVT berbanding barisan produk-produk lain yang menggunakan JAPAN MOVT. Namun, jarang kita lihat cetakan JAPAN MOVT pada jam Guess mahupun Nautica kerana persepsi pembeli yang berbeza terhadap kualiti keluaran Jepun berbanding Switzerland.

 Invicta Swiss Movt ETA 2824-2 dan Japan Movt Miyota 8215

Pengeluar jam tangan dari Itali seperti T. Buti, Locman, U-Boat, Anonimo dan beberapa jenama lain kebanyakkanya menggunakan movement ETA dalam keluaran mereka. Begitu juga di negara Perancis; jenama LIP, St. Honore, dan Michael Herbelin turut menggunakan movement yang sama.

Banyak jenama-jenama fesyen di dunia menggunakan movement Miyota seperti jenama Bum Equipment, Timberland, Tommy Hilfiger, Elle, Elleyse, Lacoste, dll. Jenama Solvil-et-Titus dari Switzerland turut menggunakan movement Miyota untuk model-modelnya yang dikeluarkan di Hong Kong. Movement Miyota biasannya digunakan untuk jenama Titus dan dijual pada harga yang agak murah berbanding model SWISS MADE. Jam-jam Solvil-et-Titus keluaran Hong Kong banyak dijual di rangkaian kedai jam City Chain. Kepelbagaian movement Miyota menyebabkan banyak pengeluar-pengeluar jenama fesyen dunia menggunakan movement-movementnya untuk mengeluarkan jam-jam tangan jenama sendiri.

Made in Germany
Berbeza dengan pengeluar jam tangan dari German, pengeluar-pengeluar yang menggunakan movement ETA, Ronda mahupun Miyota tidak mencetak signature SWISS MOVT atau JAPAN MOVT pada jam tangan keluaran mereka. Sebaliknya, pengeluar-pengeluar ini akan mencetak perkataan GERMAN MADE atau MADE IN GERMANY pada jam-jam tangan keluaran mereka. Ini boleh didapati pada jam-jam tangan berjenama dari German seperti Limes, Sinn, Tutima, Muhle Glashütte, Junkers, Aeromatics, dan Zeppelin.

 A Lange & Sohne dan Union Glashütte. Setaraf haute horlogerie dari Switzerland.

Tutima, jenama jam tangan yang diiktiraf pakatan tentera NATO untuk jam tangan chronographnya banyak menggunakan movement Nouvélle Lemania terutamanya Caliber 5100. Turut digunakan adalah ETA Valjoux 7750. Sinn, jenama yang pertama menggunakan 'Submarine Steel' dan 'Argon Gas' pada jam tangan keluarannya bergantung sepenuhnya kepada keupayaan ETA 2824-2 dan ETA 2836-2 untuk model U1 dan U2. Model Sinn 'Diapal' pula menggunakan movement ETA Valjoux 7750 yang diubahsuai.
 
 Tutima dan Muhle Glashütte, guna movement ETA.

Jenama Junkers dan Zeppelin yang diambil sempena nama pesawat terbang dan belon udara pula banyak menggunakan kedua-dua movement ETA dan Miyota. Model-model quartz Junkers dan Zeppelin kebanyakannya menggunakan movement Miyota sementara model mekanikal menggunakan ETA dan Ronda.
 
 Junkers GMT Made in Germany, guna movement Miyota.

ETA dan Miyota Tiruan Buatan China
Di zaman serba canggih ini, penggunaan Rapid Prototype Machine (RPM) telah memberi banyak impak di dalam bidang kejuruteraan samada untuk tujuan Research & Design (R&D) mahupun untuk tujuan "menciplak atau meniru". Ramai antara peminat-peminat jam tangan tahu akan jam-jam tangan jenama tiruan dari negara China. Banyak di jual di Malaysia, bukan hanya di P.S. Boutique (Petaling Street) malah di serata tempat. Ada pelbagai gred. Ada Swiss movement/Swiss Grade, AAA, AA, dan yang tiada A langsung! Kebanyakkan jam-jam tangan berjenama tiruan ini menggunakan movement yang ditiru dari Miyota dan ETA. Bukan hanya untuk jam tangan calendar bahkan chronograph mekanikal turut ditiru. Untuk jam chronograph, gred AAA biasanya menggunakan 'Asian Valjoux' yang diciplak mengikut konfigurasi dial 7750 dan 7753!!!

Apa yang pastinya; movement mekanikal Miyota 8215, ETA 2836-2, dan ETA Valjoux 7750/53 adalah yang paling banyak digunakan di dalam jenama-jenama tiruan. Paling mengejutkan adalah movement ETA 2836-2 yang ditiru menggunakan bahan dan pembuatan yang hampir sama dengan yang asli. Ini dijual dengan harga mahal seakan-akan jam yang ditiru itu menggunakan movement Swiss yang asli. Awas, jangan tertipu! Saiz 'incabloc cage' ETA tiruan (ETA Asia!) lebih lebar berbanding ETA asli. ETA tiruan tidak mempunyai nombor siri keluaran dan production code. Cuma yang ada hanyalah logo ETA dan nombor movement ETA 2836-2.
 
China Fake Miyota Cal8215

 Swiss ETA dan Asian ETA Movement 2836-2. Kalau sekali pandang, ada beza?

Kesimpulan
Sejak bermulanya zaman transformasi dari jam poket kepada jam tangan di awal tahun 1920an, banyak jenama-jenama jam tangan tumbuh di dalam dan di luar Switzerland. Jenama-jenama ini kebanyakannya bergantung kepada hanya beberapa pengeluar ebouche pada ketika itu. Kerana itu jam tangan di era 1920an sehingga penghujung 1950an mempunyai konfigurasi dial dan counter yang hampir sama. Kebanyakannya menggunakan movement A. Schild (AS), Venus, Valjoux, Lemania, dan ETA. Kebergantungan kepada ETA semakin meningkat setelah jam tangan menjadi semakin mampu-milik dan percambahan jenama-jenama baru yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di sekitar awal 1960an dan sehingga kini. Kepelbagaian movement mekanikal dan quartz oleh ETA turut diikut oleh Miyota yang ditubuhkan di Jepun pada pertengahan 1970an. Kedua-duanya mempunyai kelas tersendiri bagi mengerakkan jam-jam tangan pelbagai jenama yang terdapat di seluruh dunia. ETA yang berasal dari Switzerland adalah lebih mewah dan dikagumi pembeli sementara Miyota dari Jepun berada di pasaran bawahan yang mampu dibeli pada harga rendah. Dari segi kemampuan, Miyota hanya kurang dari kepelbagaian movement mekanikal berbanding ETA. Namun, dari segi quartz, Miyota adalah agak seimbang. Kos movement-movement produk Miyota lebih murah sehingga banyak pengeluar jenama fesyen menggunakannya untuk jam tangan keluaran mereka. ETA adalah pilihan Utama jenama-jenama pengeluar dari Switzerland.

"Tahukah anda bahawa jam tangan TAG Heuer Tiger Wood Golf quartz (gambar atas) yang harganya dua tiga ribu ringgit menggunakan movement Ronda yang kosnya kurang dari RM100? Mungkinkah kerana casing dan talinya yang dikatakan diilhamkan oleh Tiger Wood dan jenama TAQ Heuer itu sendiri makanya jam itu dijual dengan harga sebegitu tinggi? Bayangkan Mercedes Benz menggunakan enjin Proton Gen-2 Campro! Adakah anda akan membelinya? Beli jenama!" thetick-thetick.
[Semak dan susun semula 12 April 2020]