Wednesday, 29 September 2010

Tips: Membeli Jam Tangan Vintage dan Antik

"Tipah tertipu! Itulah pengalaman. Pengalaman yang mengajar aku apabila membeli jam-jam vintage mahupun antik. Pernah dulu aku beli vintage Rolex. Hisshhh, mahal pulak tuh. Harga US dollar, kene aku. Enjen dia enjen Rusia, complete vintage stamp Rolex, rupanya vintage celup. Ada sekali dua tu pulak terbeli jam rojak. Spesis yang ni banyak di pasaran ‘flea market’ dan Internet. Kekadang tu taukeh yang jual pun tak tau jam tu jam rojak. Yang paling menyedihkan, bila beli tak sampai sebulan pakai dah ‘kong’ - spare part takde babe! "- thetick-thetick

Jam Vintage, Antik, dan New Old Stock
Jam vintage atau jam antik mempunyai tanggapan yang hampir sama. Tetapi tidak serupa dari segi 'age group' dan nilai. Mungkin pada sebilangan peminat dan pengumpul jam-jam lama berumur 40 hingga 50 tahun dikategorikan sebagai vintage dan 50 tahun ke atas pula dikira sebagai jam antik. Kalau diikut kategori seperti ini, jam era 80an boleh dikira hanya jam lama. New Old Stock atau NOS, adalah jam stok lama yang masih dikira baru kerana belum terjual. Jarang sekali ada jam antik yang NOS. Vintage, memang ada walau bagaimapun tidak banyak terdapat di pasaran.

Daripada zaman 'transition' di sekitar awal 1920an di mana jam poket menjadi jam tangan sehinggalah ke penghujung 1970an, jam antik dan vintage boleh dibezakan dari segi saiz, rekabentuk casing, dial, crown, strap, dan movement yang digunakan. Setiap ‘trend’ menggambarkan zaman atau tahun (umur) jam-jam tersebut. Secara umum kita akan dapati trend jam tangan dari 1920an hingga 1940an bersaiz agak kecil dan casingnya agak unik seperti art deco watch, punyai sub-second, squarish, dan menggunakan winding-movement ataupun jam kunci. Majoriti menggunakan strap atau tali kulit.

1950an merupakan permulaan trend jam tangan 'instrument' dengan saiz yang agak besar (sekitar 38mm hingga 40mm) seperti 3-register chronograph, diver, full-calendar, dsbg. 1960an merupakan peralihan cermin jam (crystal) dari bahan acrylic (plastik) ke bahan kaca. 1970an merupakan era jam tahan lasak, strap besi, bersaiz besar, 'retro', dan menggunakan kaca keras (hardened mineral glass). Teknologi dan material jam tidak banyak bezanya dari 1920an sehinggalah pertengahan 1960an di mana bermulanya era elektronic, electro-mechanical, dan seterusnya quartz yang diterajui oleh Seiko ketika itu. Pengetahuan mengenai perkara ini asas penting dalam membuat penilaian dan keputusan sebelum membeli jam tangan vintage atau antik.

Di Mana Kita Membeli Jam Tangan Vintage dan Antik?
Internet merupakan satu ruang niaga secara maya yang banyak membantu penjual-penjual jam baru, 'second-hand', vintage, dan antik untuk menjual barangan mereka. Ia juga adalah 'venue' yang memudahkan pembeli membuat pilihan dan berinteraksi secara terus dengan penjual untuk membuat pembelian. Di beberapa tempat, ada 'flea market' atau 'pasar lambak' yang menjadi tempat di mana peniaga-peniaga jam vintage dan antik menjual barangan mereka. Di P. Pinang ada 'Road Walk', di Melaka ada 'Jonkers Street', di Ipoh ada 'Open Market', di Jalan Sultan KL ada 'Pasar Karat' dan di PJ ada Amcorp Mall Flea Market. Ada pula yang menjualnya di kedai. Namun tidak ada kedai khas yang menjual hanya jam vintage dan antik untuk pengemar dan collector kerana bilangannya agak semakin berkurangan. Kerana itu, jika di Internet ada jenis-jenis yang mudah dijual dalam jangkamasa singkat.

Bergantung kepada pengalaman seseorang penggemar dan collector, membeli jam-jam vintage atau antik memerlukan beberapa penelitian sebelum membuat pembelian. Begitu juga penjual, mereka juga perlu mengetahui banyak perkara mengenai jam-jam vintage dan antik. Pengalaman dan pengetahuan bertahun-tahun membolehkan seseorang pembeli mendapat nilai terbaik dari sesebuah jam vintage mahupun antik. Begitu juga penjual, mampu menjual pada harga yang baik dan menarik apabila memberikan butir-butir yang boleh meyakinkan pembeli mengenai jam yang dijual.

Tips Umum (General Tips) Untuk Membeli Jam Tangan Vintage dan Antik
Seperti pembuka kata di atas, membeli jam vintage dan antik memerlukan pengalaman dan pengetahuan. Banyak yang perlu dipelajari. Bukan setakat menilai dan menawar harga, banyak perlu diketahui dan ia bergantung kepada pengalaman seseorang pembeli terutamanya peminat dan pengumpul jam-jam vintage mahupun antik. Di sini, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang boleh dijadikan pedoman atau tips untuk dikongsi bersama. Ia berdasarkan pengalaman saya selama hampir 10 tahun meminati, membeli, dan mengumpul jam vintage dan antik. Saya senaraikan mengikut keutamaan seperti di bawah.

1. Jenis-jenis Jam Tangan dan Trend
Kita perlu mengetahui jenis-jenis jam tangan dan trend sesuatu zaman di mana jam-jam vintage dan antik itu terdapat di pasaran. Secara umum, kita ketahui jam diver yang mempunyai scuba bezel hanya wujud di awal 1960an sejak terciptanya Rolex Submariner di penghujung 50an. Jika ada jam diver mempunyai bezel dikatakan jam tahun 1940an, apa yang anda fikir? Begitu juga jam chronograph automatik yang dikatakan jam tahun 1950an. Jam chronograph automatik hanya mula dipasarkan sekitar 1960an, sebelum itu cuma hand-winding ataupun jam kunci. Begitu juga counter atau register jam chronograph. Jam chronograph 3 register hanya wujud di penghujung 1950an/awal 196oan. Ini adalah pengetahuan asas yang boleh memberikan kita panduan mengenai sesebuah jam vintage dan antik.

2. Brand Familiarity dan Watches Signature
Terdapat ribuan jenama atau brand dari Switzerland atau Swiss. Ada juga Swiss brand yang di’localised’ di Hong Kong, dan ramai tahu tentang Seiko, Orient, dan Citizen dari Jepun. Begitu juga HMT India yang merupakan usahasama dengan Citizen Jepun. Setiap jam tangan mempunyai 'signature' nya sendiri. Signature-signature ini boleh kita lihat di setiap model keluaran jenama-jenama tersebut. Sebagai contoh, jam tangan Omega 1950an ke atas mempunya logo Omega pada crown jam, logo kuda laut untuk jam Seamaster di penutup jam, begitu juga logo 'Observatory' untuk model Constellation dan buckle tali jam mempunyai logo berbentuk Omega. Jam chronograph Omega 'Broad Arrow' menggunakan jarum penunjuk 'waktu jam' yang unik seperti anak panah yang besar. Begitu juga clasp buckle yang turut mempunyai signature Omega. Serial number jam Omega juga dirujuk pada enjinnya yang mempunyai siri sebanyak 7 hingga 8 digit. Nombor siri jam pada enjin jam Omega boleh memberitahu kita tahun jam tersebut dikeluarkan. Nombor model dan bahan case dipaparkan di dalam penutup jam. Setiap jam tangan seperti Omega mempunyai signaturenya sendiri. Begitu juga jenama-jenama 'top' yang lain seperti Rolex, Audemars Piguet, Breguet, Patek Philippe, Blancpain, Cartier, dsbg. Nombor siri dan nombor model Rolex hanya terdapat di bahagian casing di antara dua lugs jam. Tidak terkecuali, jam Seiko, Citizen dan Orient. Jam Seiko akan memaparkan (printed) nombor movement dan model di atas dial jam dan di atas penutup jam. Sekiranya terdapat percanggahan dari segi 'standard signature' jam-jam tangan ini, ia memungkinkan jam tersebut adalah 'fake vintage' ataupun 'jam rojak'. Banyak terdapat jam vintage Seiko Bellmatic dan chronograph yang dirojakkan. Ini berlaku apabila spare part semakin pupus dan jam-jam mula dirojakkan. Tahap pengetahuan atau 'familarity' ini bergantung kepada minat kita terhadap sesuatu jenama. Jika seseorang meminati jam tangan vintage berjenama Seiko, mendalami pengetahuan mengenai model, signature, movement, dan trend akan banyak membantu anda membuat penilaian.

3. Watches Material dan Watches Movement
Jam tangan sport tahun 70an kebanyakkannya menggunakan 'hardened mineral glass'. Jika terdapat cermin jam sport 70an yang menggunakan acrylic, besar kemungkinan ia diganti dan ini menjadikannya jam rojak. Begitu juga enjin jam. Ini bukan sesuatu yang mudah. Jam calendar watch jenama Tudor misalnya menggunakan enjin ETA dan AS (bergantung kepada model dan tahun). Ada signature Tudor di winding rotor dan watch plate. Jika signature ini tiada, kemungkinan enjin lain dipasang pada jam tersebut. Begitu juga jam-jam lain yang menggunakan enjin ETA, AS, Lehmania, Venus, dan Valjoux. Mengenali jenis-jenis enjin yang dipakai oleh jenama-jenama jam terutamanya yang berharga mahal adalah perlu bagi mengelakkan kita tertipu. Ini memerlukan minat yang tinggi. Jika kita tidak pasti, dapatkan nasihat dari pengumpul dan peminat yang berpengalaman dan berpengetahuan mengenai movement jenama-jenama tertentu. Seiko, jenama terkenal dari Jepun adalah pengeluar yang paling banyak mengeluarkan enjin-enjin jam. Di sebabkan standard yang digunakan pada dial jam-jam tangannya, jam Seiko vintage mudah 'dirojakkan' dan mengunakan enjin-enjin yang lain dari model sebenarnya. Ada terdapat jam diver 6309 yang menggunakan enjin 7002. Banyak pula model chronograph 6139 yang menggunakan dial dan penutup jam yang berlain dari model yang sepatutnya.

4. Memeriksa Kondisi Jam Tangan
Agak mustahil untuk memeriksa keadaan fizikal sesuatu jam tangan jika anda membelinya di Internet. Keadaan fizikal atau condition sesuatu jam tangan itu bergantung kepada penjual itu sendiri. Kita hanya bole memeriksa keadaan jam tersebut setelah kita membayar dan menerima hantaran. Jika kita membeli di Kedai mana jam tangan berada di tangan kita, penilaian boleh dibuat seperti berikut:

Cara 1: Jam automatic atau kunci. Kunci crown jam (winding) dan cuba dengar (dekatkan dengan telinga) bunyi train wheels yang memacu barrel jam. Seharusnya ia berbunyi agak konsisten dan perjalanan gear tidak tersekat-sekat ketika jam dikunci. Jika tersekat-sekat, kemungkinan salah satu jejari gear pada train wheel patah atau haus. Ini menyebabkan penguncian kuasa jam bermasalah. Jika jam kunci, apabila dikunci penuh kita akan rasakan seperti spring atau anjal pada pergerakan crown. Jika dikunci penuh dan crown berbunyi tik tanpa keanjalan ini bermakna sistem pengunci tidak berfungsi pada keadaan sepatutnya. Keanjalan yang terdapat pada sistem winding adalah untuk mengelakkan crown stem dan barrel winder rosak dan patah. Kebanyakkan jam automatik Swiss boleh dikunci. Jika jam mati dan dikunci beberapa pusingan, seharusnya jarum saat akan mula bergerak. Fungsi ini tidak terdapat pada jam automatik Jepun. Cukup dengan menggoyang, jam automatik Jepun akan berfungsi.

Cara 2: Lihat pergerakkan jarum saat. Pastikan jarum bergerak secara konsisten dan boleh bertahan selama beberapa minit. Jika jarum saat terhenti pada jangkamasa yang agak pendek, ulang langkah 1. Jika hasilnya sama, ada beberapa kemungkinan seperti (1) centre wheel atau second wheel sudah rosak, (2) transmission wheel tersangkut disebabkan oleh friction, (3) barrel jam stuck dan (4) besar juga kemungkinan escape mechanisme jam tidak berfungsi dengan baik.

Cara 3: Pusingkan crown untuk tempoh kiraan 24 jam mengikut pusingan jam (clockwise). Pastikan setiap kiraan 1 jam - jarum jam dan jarum minit berada pada indeks yang betul. Jika jam berkalendar, pastikan tarikh kalendar bertukar di antara indeks jam 10 hingga 12 (waktu petunjuk malam) dan terpapar betul-betul di tengah date window. Jika kedudukan calendar disk lari dari date window atau apperture ia disebabkan oleh calendar gear dan strike pin yang sudah rosak. Begitu juga untuk konfigurasi day-date.

Cara 4: Buka penutup jam dan lihat keadaan enjin jam. Apabila jam berfungsi, lihat pergerakkan balance wheel. Pastikan ia bergerak stabil pada posisi mendatar (jam terbalik, letak di atas permukaan rata). Jika balance wheel bergerak agak terkeluar dari paksi bulatan, kemungkinan besar hari spring pada balance wheel sudah bengkok ataupun rosak. Kerosakan pada balance wheel menyebabkan jam sukar untuk di'tune' bagi mendapatkan ketepatan perjalan masa.

Cara 5: Lihat pada regulator atau tuner. Jika jam Swiss, ada sebahagian bridge yang memegang gear-gearnya terukir ‘F’ untuk Fast dan ‘S’ untuk Slow. Ada jarum penghubung dan penanda (regulator marker) yang menunjukkan kelajuan balance wheel. Jika penanda menunjukkan hampir pada ’F’ pada indeks maksimum ia bermakna timing jam sudah sampai ke kemuncak dan ini memberi isyarat yang enjin tersebut perlu diservis atau 'overhaul'. Ini sering terjadi pada jam-jam yang sudah bertahun tidak diservis di tune sehingga maksimum untuk menunjukkan masa yang tetap. Jika S, keadaan di sebaliknya. Samada S dan F, + (plus) atau - (minus), regulator ini menunjukkan tahap kemampuannya untuk ditunekan. Regulator yang baik, penandanya berada hampir di tengah antara kedua-duanya bagi menunjukkan keseimbangan (balance).

Cara 6: Jika jam automatik, ia mempunyai rotor plate. Gerakkan jam (keadaan mendatar) dan lihat pergerakkan rotor plate, jika ia tersekat-sekat, kemungkinan berlaku kehausan atau terdapat karat pada roller-ball atau ball bearing pada winding mechanisme. Gerakkan jam dalam keadaan menegak dan pastikan rotor plate tidak bergerak ke atas dan ke bawah. Jika berlaku, kemungkinan terdapat gear pada winding mechanisme yang sudah longgar. Ini boleh menyebabkan transmisi penguncian (winding) tidak sampai pada barrel jam. Keadaan ini menyebabkan penguncian yang tidak maksimum maka kuasa simpanan jam tidak optimum.

Pastikan rotor plate, winding mechanisme, dan balance wheel stabil.
Cara 7: Jika jam chronograph, pastikan 'interval-start-stop pusher' dan 'reset pusher' berfungsi apabila ditekan. Pastikan setiap pergerakan 60 saat, jarum perakam minit bergerak ke indeks yang sepatutnya apabila jarum saat tepat kepada ‘0’ atau pada ‘12’. Apabila start-stop pusher ditekan, pastikan semua jarum perakam chronograph terhenti. Tekan semula untuk membuat kiraan interval dan pastikan jarum chronograph bergerak secara spontan. Jika lambat, ada kemungkinan terdapat kerosakan pada chronograph stock dan gear stopper. Tekan rest pusher, secara spontan semua jarum chronograph mesti berada pada indeks ’o’ pada setiap register samada 30/45 minit, 12 jam, dan 60saat. Jika kedudukan jarum lari dari indeks yang sepatutnya setelah berulang kali pusher ditekan, kemungkinan besar clutch dan 'lever setting mechanisme' untuk reset sudah rosak.

Cara 8: Jika jam diver atau scuba yang mempunyai outer bezel. Pusing bezel mengikut pusingan lawan arah jam dan pastikan pergerakkannya lancar. Jika tersekat, ada kemungkinan ball-bearing, getah (bezel rubbber inset hanya pada jam Jepun), dan holding wire rosak. Ada juga kemungkinan terdapat keladak atau kotoran disebabkan oleh karat pada gigi bezel.

Kombinasikan cara-cara di atas apabila memeriksa jam secara fizikal. Ia bergantung kepada jenis-jenis jam tangan. Dalam pada kita memeriksa secara fizikal, adalah disarankan kita observe timing pada jam tangan tersebut dengan memakainya sekurang-kurangnya dalam tempuh 6 jam. Synchronize dengan jam quartz dan bandingkan. Jika timing pada jam vintage itu cepat atau perlahan dari jam quartz yang agak tepat, ini bermakna sesuatu harus dilakukan pada mekanisma jam tangan tersebut.

”Selamat mencuba! Kalau beli jam kat flea market, sure taukeh jam tu ada case opener. Suruh dia bukak. Make sure rotor plate, winding mechanisme, dan balance wheel dia okey. Nak tau enjin tu ori ke rojak, kene banyak belajar la babe. Pasal wa pun selalu gak terkena. Sama tapi tak serupa, apa bole buat. Nantikan tips-tips seterusnya.” - thetick-thetick
[Semak dan susun semula 20 Februari 2020]