Monday, 10 February 2020

Tips: Beli Jam Tangan Secara Online Bhg. 1

"Baru-baru ni aku gi The Curve, Campbell, Pertama Complex, dan merayau area Jalan T.A.R. Sejak kembali sihat dan berkelapangan, aku mula tinjau balik toko-toko menjual jam tangan yang aku biasa masuk bertahun-tahun sebelum ni. Jangan kata jam tangan... kedai-kedai jual jam tangan pun dah mula pupus! Tempias dan saingan dari kedai online kat pasaran maya (bahasa ubi kentang dia Virtual Market) yang bercambah hari demi hari macam sayur taugeh. Taukeh dan salesman kedai jam kerut dahi! Jam Online Store halga mulaa (murah) maa. Talak macam saya, misti bayar sewa. Sewa kidai pun sikalang talak mulaa! Itulah keluhan seorang taukeh kedai jam yang aku kenali hampir tiga dekad lamanya. Saingan perniagaan dari dunia maya. Kepada pemburu-pemburu jam tangan, membeli di online store tak sama dengan beli di kedai. Kedua-duanya ada kelebihan. Jangan ingat nak murah jehh... Beli online pun ada risiko... aku kongsikan tips." - thetick-thetick2020


Web-store vs. Market Place
Web-store (kedai di Internet) dan Market Place bukanlah sesuatu yang baru. Telah wujud hampir tiga dekad. Kebanyakan web-store ini dimiliki dan dikendalikan oleh pengeluar atau reseller jam tangan. Tujuannya adalah untuk memberi kemudahan kepada pengguna untuk membeli jam jualan meraka secara terus menggunakan Internet. Juga untuk mengawal promosi dan pemasaran menggunakan channel web-store itu sendiri. Selain dari web-store, wujud virtual market atau market place seperti eBay, Amazon, Rakuten, Mudah, Lelong, Carousell, Shopee, Lazada, dll. Antara web-store dan market place, mana pilihan terbaik?

Mutakhir ini, pengguna-pengguna lebih tertarik untuk membeli jam-jam tangan di market place berbanding web-store. Ini adalah kerana pemilik market place menawarkan banyak purchase incentives dan promosi berbanding web-store. Market place juga menempatkan (secara virtual) banyak kedai-kedai online (online store), Virtual Mall, dan mampu diakses dengan lebih mudah. Tidak perlu menaip URL untuk untuk setiap kedai seperti web-store. Melalui market place, kita boleh cari jam; pelbagai jenis jenama jam, jam baru, jam lama, jam vintage; bahkan pelbagai accessories, spare parts, dan peralatan membaiki jam. Bukan hanya peniaga-peniaga tempatan, malah dari luar negara turut ada dalam platform yang sama. Semua dalam satu login! Macam pergi pasar borong... kena singgah semua kedai atau penjual untuk cari sesuatu yang dihajati, terbaik dan termurah. Kalau tak jumpa? Kena cari di web-store!

Web-store tetap relevant. Terutamanya untuk jenama-jenama tertentu, jenis-jenis accessories tertentu, dan sesuatu yang special. Hendak beli jam JDM (Japan Domestic Model)? Nak cari tali besi... tali getah untuk jam Seiko Sumo? Nak mod (modify) jam-jam Seiko automatic? Tidak mudah untuk mencari semua ini dalam market place. Mungkin ada, tetapi hanya segelintir. Kita perlu ke web-store seperti Seiyajapan, Dagaz, Strapcode, dan special online store yang lain untuk mendapatkan barangan tersebut. Web-store atau Market Place, kedua-duanya mempunyai kelebihan sendiri.

Online Catalogue vs. Barangan Sebenar
"Ni warna bijik remia... bukan warna merah! Apa laa seller nih! Jangan-jangan mata aku terpeleot!". Rungutan dan nasib apabila terima barangan dibeli secara online. Ini perkara yang pertama kita perlu tahu dan pastikan sebelum membuat pilihan. Warna-warna di online catalogue atau sales display bergantung kepada colour setting pada peranti yang kita gunakan untuk akses - smartphone, tablet, laptop, PC, mahupun television. Mungkin berbeza dari warna sebenar!!! Adalah dinasihatkan, jika ada masa terluang - pergi ke kedai-kedai jam, lihat barangan yang sebenar. Bukan setakat warna, spesifikasi lain seperti saiz dan fungsi sebenar boleh kita pastikan jika rajin membanding apa yang ada di skrin dan keadaan fizikal yang sebenar. Aku selalu buat camni... hehe sorry laa taukeh kedai!!!

Ada kalanya kita kurang pasti apa yang dimaksudkan atau disenaraikan oleh penjual-penjual di dalam katalog. Terutamanya spesifikasi dan fungsi-fungsi sesebuah jam tangan untuk dijual. Kita boleh Google search model atau jam tersebut. Ini perkara yang amat disarankan. Bukan apa, kadang-kadang penjual pun boleh jadi terpeleot jugak. Saiz jam 50mm lug to lug, dia bubuh 40mm. Padahal 40mm tuu diameter jam tuu... bukan tip to tip atau lug to lug. Haru beli kalau pergelangan tangan saiz kecik, dapat jam saiz gabak!!! Ada banyak review-review jam tangan di Internet sekarang ini. Ada video review, ada text & pic review. Terpulang... dapatkan maklumat barangan sebelum membeli.

Penjual, Jaminan, dan Khidmat Lepas Jualan
Kebanyakan pemilik atau pengendali market place seperti eBay dan Lazada, menyediakan store rating sebagai rujukan pembeli mengenai sesebuah barangan mahupun pemilik online store. "Camtu laa juga kita-kita ni Cek Kiah oiii... rajin nyoping online pun ada rating". Anda pastinya tahu! Pendapat peribadi, saya tidak terpengaruh pada seller's rating atau store rating semata-mata. Berdasarkan pengalaman dan kajian, kebanyakan penjual yang mendapat rating tinggi seperti 5 star... 4 star... atau volume rating seperti 1.5k sold ini lebih dipengaruhi oleh harga tawaran dan jumlah belian sesuatu barangan.

Lumrah, membeli online untuk mencari harga termurah. Namun, harga termurah tidak menjamin sesuatu yang penting seperti keaslian barangan tersebut, warranty atau guarantee oleh pengeluar barangan, mahupun after-sales service. Ini perlu penelitian. Bak kata mat saleh, penny wise - pound foolish! Kata pak mat... alah membeli, menang memakai. Perlu penelitian sebelum membuat keputusan. Usah kena jerangkap samar atau perangkap harga oleh penjual-penjual online. Kena barangan yang dibeli rosak, nak return untuk claim warranty - masalah. After sales adalah penting akan tetapi selama mana anda dibenarkan untuk edit balik rating penjual tersebut? Dalam masa setahun? Nasib laa... kena hati-hati dan teliti.

Harga Patut dan Harga Tak Patut!
Ingin mengetahui harga asal atau SRP (suggested retail price) untuk sesebuah jam tangan? Kita perlu semak di laman-laman web rasmi pemilik jenama atau model tersebut. Boleh juga kita semak di kedai-kedai yang menjual jam-jam tersebut. Namun, jika kita tidak mempunyai sumber maklumat sebegini; kita boleh membuat bandingan secara rawak (random) di market place. Sebagai contoh - jam penyelam Seiko Prospex model Turtle Standard tali besi harga online terkini di Malaysia sekitar RM1,200.00 hingga ke RM1,350.00 satu. Usah tertarik pada penjual yang menjual jam yang sama pada harga RM380.00 atau harga yang jauh lebih rendah sekalipun! Ini bukan harga patut, tetapi adalah harga yang tidak patut. Jam yang asli, genuine tidak semurah itu. Usah ditipu dengan sales claim oleh penjual seperti OEM, re-assembled, reject, dan helah-helah untuk jual jam tiruan! Lain lah jika seller memberitahu bahawa jam tersebut adalah jam tiruan!!! Haha... tepuk dada, tanyalah selera. Nak tukun tiruan, silakan. Sebagai peminat jam, pastinya kita mahukan yang asli. Namun, jika terlalu dipengaruhi oleh "harga runtuh" alamat bakal terpijak tahi ayam laa gamaknya. Aku dah terkena. Haha... pengalaman. Buat kaji selidik mengenai harga terlebih dahulu. 


Harga patut? Mana ada harga Seiko Turtle PADI semurah ni! Usah tertipu.
 Jam G-Shock. Lowest price guaranteed. Original? Hati-hati dengan "China Scam".
"Nak ziarah toko-toko jam tangan kat mall yang besar-besar ni meletihkan. Boleh luruh bulu betis banyak naa berjalan. Berbatu-batu berjalan tak perasan, ngalahkan main golf jalan kaki satu round. Nak buat camna, minat punya pasal. Dah jumpa apa yang awak nak? Itu laa soalan isteri aku kalau gi merayau kat mall. Dia tahu jeh mana nak carik aku... kedai jam! Awas... scam, penipuan jualan jam tangan original di market place. Haha... tunggu, akan dibentangkan di bahagian kedua." - thetick-thetick2020

[Semak dan susun semula 24 Februari 2020]