Saturday, 28 November 2009

Pengetahuan: Anatomi Jam Tangan Bhg. 1

Saya gunakan perkataan anatomi (English: anatomy) kerana ia lebih difahami oleh kebanyakkan kita. Bila disebut human anatomy, kita tahu ia merujuk kepada bentuk, anggota, bahagian-bahagian dalaman badan manusia, dan fungsi-fungsinya. Apabila kita menghuraikan anatomi sesebuah jam tangan, kita tidak dapat lari dari menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar teknologi dan panggilan-panggilan yang digunakan (horological term).

Anatomi Sesebuah Jam Tangan
Sebagai permulaan, eloklah kita kenali struktur asas sesebuah jam tangan itu. Kenali bahagian-bahagian utama yang ada padanya. Untuk memudahkan pemahaman anda, sila lihat illustrasi grafik yang saya sediakan seperti di bawah.
Illustrasi 1 - Bahagian-bahagian kepala jam atau "watch head"
Jam Analog dan Jam Digital
Haruslah kita ketahui bahawa terdapat dua jenis jam tangan yang lazimnya digunakan sebagai penunjuk waktu ataupun pengukur masa. Kedua-dua jam ini kita biasa melihatnya. Jam analog adalah jam yang mengukur masa dan menunjukkan waktu dengan menggunakan jarum (jarum jam) – saat, minit, dan jam (hour). Ada pula yang menunjukkan waktu kedua (second time zone) dan waktu GMT (Greenwich Mean Time) dengan tambahan satu lagi jarum khas. Tarikh (kalendar) juga boleh ditunjukkan dengan menggunakan jarum. Secara lumrahnya, jam tangan analog lebih mudah dibaca. Dengan sekali pandang kita boleh mengagak waktu ketika itu, walaupun hanya dengan dua jarum – jam dan minit.
Illustrasi 2 - Pukul berapa datuk harimau? Agak-agak pukul berapa? 10 lebih?
Jam digital adalah jam yang menggunakan paparan LCD (liquid crystal display), mengukur, dan menunjukkan masa dalam betuk nombor dan text (alpha-numeric). Dengan paparan digital alpha-numeric, ia mampu menunjukkan masa dalam kiraan jam, minit, dan saat. Ada juga jam yang mempunya kombinasi analog dan digital ataupun dipanggil ’combi watch’.
Illustrasi 3 - Analog, digital, dan combi (atau Citizen gelar sebagai Digi-Ana)
Jam Analog: Dial, Register, dan Marker
Permukaan jam yang mempunyai tanda atau skala ukuran waktu adalah apa yang dipanggil ’dial’. Berlainan daripada jam digital yang mempunyai paparan LCD yang berbetuk empat segi (kebanyakkannya), jam analog secara umumnya berbentuk bulat. Sebagaimana prinsip jarum jam yang berputar (dipanggil putaran jam atau clockwise), dial berbetuk bulat untuk memudahkan pengiraan masa dan menunjukkan waktu dalam kiraan saat, minit, sehingga kepada jam (hour). Untuk jam penyukat masa analog atau ’chronograph’ (sebahagian kita memangilnya stop-watch), ia mempunyai beberapa dial kecil untuk mengukur skala masa tertentu sama ada saat, minit, mahupun jam. Dial-dial kecil ini dipanggil ’register’ ataupun ’counter’. Setiap register ataupun counter mempunyai satu jarum penunjuknya sendiri. Namun begitu, dengan kemajuan teknologi dan kemahiran pembuatan jam-jam analog, ada register atau counter yang mempunya dua skala dan dua jarum penunjuk di dalamnya. Ini boleh didapati pada jam-jam mekanikal mewah yang berada di pasaran.
Illustrasi 4 - Bahagian-bahagian jam tangan analog 3-hands-date dan Chronograph
Ada pula jam yang mempunyai marker atau penunjuk skala yang tidak berbentuk bulat. Dengan jarum yang bergerak dua-hala kiri dan kanan, penanda bentuk kon atau kipas akan kita termui. Kebanyakkannya menunjukkan tahap kuasa simpanan (power-reserve mark, reserve de marche) sesebuah jam mekanikal. Ada juga yang menunjukkan tarikh atau kalendar.
Illustrasi 5 - Penanda simpanan kuasa jam pada dial 
Ikutan informasi seterusnya di bahagian kedua.
[Semak dan susun semula 20 Februari 2020]