Monday, 25 October 2010

Tick-Talk: Model-Model Seiko Vintage Diver 150m

Rolex Submariner 6204/05 dan Seiko Diver 6217-8000
'Submariner' adalah signature jam tangan Rolex yang popular sejak mula diperkenalkan di Swiss Watch Fair pada tahun 1954. Case Reference 6204 dan 6205 adalah model terawal dikeluarkan oleh Rolex. Model 6205 mempunyai cetakan Submariner pada dialnya. Rekabentuknya yang unik dan yang pertama menggunakan 'Scuba Bezel' telah menjadi ikutan serta standard pengeluar-pengeluar jam penyelam sehingga ke hari ini.

Rolex Ref. 6204 Submariner, jam penyelam pertama menggunakan Scuba Bezel.

Turut mengikut trend oleh Rolex adalah jenam hebat dari Switzerland seperti Blancpain ‘Fifty Fathom’, Omega ‘Seamaster’, dll. Seiko dari Jepun turut mengeluarkan model penyelamnya yang pertama iaitu model 6217-8000 pada sekitar tahun 1965 yang mana rupabentuknya hampir sama seperti Rolex Submariner 6204/05. Berbandingan dengan Rolex, saiz Seiko sedikit kecil, bertali getah, dan boleh mencapai kedalaman sehingga 150 meter. Seperti Rolex, model pertama Seiko ini tidak mempunyai 'Crown Guard' dan crown terletak di kedukan pukul 3 dan selari dengan 'date apperture/window'.

Seiko 6217-8000, model pertama jam tangan penyelam Seiko.

Ia mempunya tiga model variasi 6217-8000, 6217-8001, dan 6217-8000T (cetakan pada dial) yang turut dikenali sebagai model 62MAS. Seiko Diver Cal6217 dikeluarkan di sekitar tahun 1965 sehingga ke tahun 1967/68. Ia menggunakan movement Seiko Cal6217A: Automatik, 17 jewels, 5bps/18,000bph, dan date-calendar. Cal6217A tidak mempunyai quick-set date mechahisme.

Bermula dari model 6217-8000 sebagai model pertamanya, Seiko terus mengeluarkan model-model jam tangan penyelamnya sehingga ke hari ini. Ironinya, jam Seiko Diver banyak dipakai oleh divemaster-divemaster di serata dunia. Dan, jam-jam penyelam jenama Rolex dan Seiko turut dipakai oleh pelakon filem James Bond.

Seiko H601-5480 Analogue-Digital 150m Diver hampir serupa dengan model H558-5000 Dial Hitam dipakai oleh Roger Moore dalam filem A View To A Kill tahun 1985.

Seiko Diver 6105

Seiko 6105-8000 150m Diver

Model Seiko Diver yang seterusnya menggunakan Cal6105A dan Cal6105B yang juga versi automatik, 17 jewels, 6bps/21,600bph, date-calendar, tahap kedalam 150 meter, dan mempunyai quick-set date mechanisme. Seiko Diver 6105 kelihatan seperti bantal kusyen (atau cushion case) yang mempunyai dua saiz. Keluaran model awalnya menggunakan Cal6105A yang tiada hacking mechanisme iaitu model 6105-8000 dan 6105-8009. Hacking mechanisme cuma terdapat pada sebahagian model yang menggunakan Cal6105B iaitu model 6105-8110 dan 6105-8119 yang bersaiz agak besar berbanding model sebelumnya.

Seiko mula menggunakan casing diameter yang lebih lebar pada model 6102 dan mengalih kedudukan crown pada pukul 5. Diameter casing yang lebar membolehkan casing jam menjadi crown guard dimana kedudukan crown adalah kedalam sedikit. Seiko mengekalkan kedudukan date apperture pada pukul 3. Seiko Diver 6105 menggunakan ‘turn-and-lock’ mechanisme pada crown bagi mengelakkan air dari memasuki jam tangan semasa di dalam air. Model 6105 dikeluarkan oleh Seiko di sekitar tahun 1968 sehingga tahun 1977.

Seiko Diver 6306
Pada sekitar tahun 1976, Seiko telah mengeluarkan model Seiko Diver baru yang menggunakan Cal6306. Calibre 6306 juga adalah versi automatik, 21 jewels, 6bps/21,600bph, quick-set calendar day-date, hacking-function, dan tahap kedalaman 150 meter. Model 6306 cuma dikeluarkan untuk pasaran Jepun dan keluarannya amat sedikit. Oleh kerana itu model 6306 sukar ditemui di pasaran jam tangan vintage – rare! Bentuk cushion case, Seiko Diver 6306 mempunyai hanya dua model iaitu 6306-7000 dan 6306-7001. Scuba Bezelnya boleh diputar ke kedua belah arah tanpa dikunci (bi-directional, non-locking bezel). Model 6306 yang terhad untuk pasaran Jepun di keluarkan di sekitar tahun 1976 hingga tahun 1981.

Seiko 6306-7001 150m Diver

Seiko Diver 6309
Model 6309 adalah antara model Seiko Diver yang popular. Ia dikeluarkan di sekitar tahun 1976 hingga tahun 1988. Model awal 6309 menggunakan cushion case yang agak besar seperti model 6306 sebelumnya. Bentuknya yang agak bulat dan besar lebih dikenali sebagai ‘turtle case’. Model yang menggunakan casing turtle ini adalah model 6309-7040 dan 6309-7049. Selain dari kedua-dua model ini, Seiko Diver 6309 mempunyai model lain yang menggunakan casing yang agak ‘slim’ iaitu model 6309-7290, 6309-729A, dan 6309-729B. Model-model ini adalah untuk pasaran Jepun. Model 6309-729B adalah model yang menggunakan dial berwarna oren dan lebih dikenali sebagai ‘Nemo’. Model 6309-729A pula mempunyai bezel dua warna – merah dan biru. Untuk model-model pasaran Jepun, dial dicetak dengan perkataan 17 jewels.

Seiko 6309-7040 150m ‘Turtle’ Diver

Model 6309 sebenarnya adalah pengganti untuk model 6105 untuk standard kedalaman 150 meter. Ia menggunakan Calibre 6309, automatik, 17 jewels, 6bps/21,600bph, quick-set calendar day-date, dan non-hacking. Scuba Bezelnya bole diputar ke kedua belah arah tanpa dikunci (bi-directional, non-locking bezel). Tidak seperti model 6105 yang menggunakan ‘turn-and-lock’ mechanisme pada crown; model 6309 menggunakan ‘screw-down-lock’ mechanisme pada crownnya. Model 6309-7290 mempunyai casing lebih slim, namun bahagian casing yang berhampiran pada crown (pada pukul 5) telah diubah dan diperkukuh sebagai rekabentuk crown guard yang lebih praktikal dan selesa ketika dipakai.

Seiko Diver 7002
Menjelang pertengahan tahun 1980an, Seiko mula menggunakan casing yang berasaskan model 6309-7290 yang agak slim. Casing yang hampir serupa digunakan untuk model Seiko Diver seteruanya iaitu 7002. Ini boleh kita lihat pada model SKX007-xxx. Seiko Diver model 7002 dikeluarkan disekitar tahun 1988 sehingga ke tahun 1996. Ia menggunakan Calibre 7002 dan 7002A. Kedua-dua calibre ini dipasang (assembled) di Jepun dan Singapura. Untuk membezakan, perkataan Japan ataupun Singapore ada terdapat pada sesetengah rotor plate atau pun pada movement bridge. Juga terdapat cetakan SIN pada base plate berhampiran dengan movement regulator.

Seiko 7002-7001 150m Diver

Calibre 7002 adalah movement automatik, 17 jewels, 6bps/21,600bph, quick-set calendar-date, dan non-hacking. Model 7002 adalah model peralihan kepada model-model Seiko Diver yang seterusnya. Peralihan ini melibatkan perubahan pada model 7002 itu sendiri di sepanjang pengeluarannya iaitu:

1. Scuba Bezel – bi-directional non-locking bezel berubah ke uni-directional locking bezel (model 7002-7039)
2. Depth Rating – dari 150 meter ke 200 meter (model 7002-7020 & 7002-7039; seterusnya menggunakan Calibre 7S26, mulai tahun 1997)

Terdapat berbagai variasi untuk model 7002.
• 7002-7000, 7002-7001 dan 7002-7009 (150m, bezel hitam)
• 7002-700A (150m, bezel biru-merah)
• 7002-700J (150m, bezel biru-merah, hanya dikeluarkan untuk pasaran Jepun)
• 7002-7020 (200m, bezel hitam)
• 7002-7039 (200m, bezel hitam, uni-directional locking bezel)

Dial-dial untuk pasaran Jepun bagi model 7002 mempunyai cetakan 17 jewels dan terdapat cetakan Made In Japan pada kedudukan pukul 7. Menjelang model keluaran terakhir di sekitar 1995 sehingga 1996, tidak seperti sebelumnya jarum saat pada model 7002 mula menggunakan jarum yang mempunyai luminous di bahagian pangkal jarum. Untuk model buatan Jepun, hour dan minute hands disalut dengan warna keemasan yang menjadi standard untuk model ‘Made in Japan’ sehingga ke model 7S26 yang seterusnya.

Seiko Diver 150m Lain
Selain dari model 6217, 6306, 6309, dan 7002; Seiko turut mengeluarkan model-model 150m yang lain yang mana saiznya agak kecil.

Seiko Professional Diver 2205 Small/Ladies
Seiko model 2205 adalah jam Professional Diver 150m yang bersaiz kecil 33mm (small/ladies). Bentuk casingnya seperti model 6217 tetapi tebal di sekitar crown sebagai crown guard. Terdapat dua variasi warna dial:
• Dial hitam: 2205-0640, 2205-0649, 2205-0760, 2205-0769, 2205-4090
• Dial oren: 2205-0530


Model yang dikeluarkan pada awal tahun 70an ini menggunakan Calibre 2205; berdiameter kecil, automatik, 17 jewels, 8bps/28,800bph (hi-beat), boleh dikunci (hand-wind), quick-set calendar-date mechanisme, dan tiada hacking function. Seiko Diver 2205 mempunyai rekabentuk dial yang hampir serupa dengan model 6105 yang menggunakan 'stainless-steel marker'. Crownnya juga terletak pada kedudukan pukul 3 selari dengan date apperture. Selain scuba bezel berwarna terdapat model yang menggunakan bezel biru-merah.

Seiko 2205-0640 150m Professional Diver

Seiko Mid-size Diver 4205
Model 4205 adalah model sambungan dari 2205. Terdapat dua saiz yang berbeza iaitu 33mm (small/ladies) dan 37mm (mid-size):
• Dial hitam, small/ladies 33mm – Model 4205-0140 dan 4205-014B (bezel merah-biru)
• Dial oren, small/ladies 33mm – Model 4205-0144
• Dial hitam, mid-size 37mm – Model 4205-0152 dan 4205-0156

Model 4205 dikeluarkan di antara tahun 1982 hingga 1987. Casing model 4205 kelihatan sama seperti model 7002-7039 namun bersaiz agak kecil 33mm dan 37mm. Crownya terletak dapat kedudukan pukul 5 dan menggunakan screw-down-lock. Bezel Scuba 4205 pula adalah jenis bi-directional locking bezel. Calibre 4205; automatik, 17 jewels, 6bps/21,600bph, quick-set calendar date, boleh dikunci (hand-wind), dan tiada hacking.

Seiko 4205-0143 150m Diver

“Nantikan artikel seterusnya, Seiko Diver vintage 200m dan ke atas.” – thetick-thetick.
[Semak dan susun semula 12 April 2020]

Friday, 22 October 2010

Tips: Bagaimana Nak Manual Tune Seiko Anda?

Tuning atau Regulating
Tuning atau Regulating adalah terma yang digunakan untuk ‘adjustment’ pada ‘regulator’ sesebuah jam tangan. Tujuannya adalah untuk memastikan jam tangan berjalan dengan tepat atau hampir tepat. Jam tangan yang mendapat certification C.O.S.C. atau Chronometer Certified memerlukan movement jam diadjust pada 5 posisi (adjusted in 5 position) dalam suhu panas (heat) dan suhu sejuk (cold). Jam tangan berjenama dan mempunyai pengesahan C.O.S.C. berharga agak mahal. Kebanyakan movement jam-tangan yang bukan chronometer certified hanya ditune pada kedudukan ‘face-up’ semasa di akhir process pengeluarannya. Oleh itu ada sebahagian movement pada jam dicetak dengan perkataan ‘unadjusted’.

Kesan Graviti, Medan Magnet, dan Suhu
Tarikan gravity, tarikan medan magnet, dan suhu persekitaran mempengaruhi pergerakan balance wheel pada sesebuah jam tangan mekanikal. Balance wheel yang bergantung kepada hairspring yang halus akan bergerak pada separuh putaran kiri dan separuh putaran kanan (half-revolution) untuk menggerakkan escapement wheel bagi memacu masa dalam kiraan saat. Seterusnya gear saat akan memacu gear minit dan kiraan jam. Kesan tarikan graviti ada kalanya menyebabkan balance wheel bergerak laju atau perlahan. Begitu juga tarikan magnet di persekitaran kita. Suhu panas atau sejuk turut mempengaruhi hairspring yang halus – mengembang dan menguncup. Ini semua memberi kesan kepada ketepatan sesebuah jam tangan (accuracy).

Regulator Jam Tangan Seiko
Bergantung kepada jenis movement, Seiko mempunyai dua-tiga jenis regulator yang biasa kita temui. Untuk model high-end dan Chronometer Certified (sebahagian dari model GS vintage), kebanyakkan regulatornya di tanda S untuk Slow dan F untuk Fast pada 'regulator index'. Ada tuning fork diintegrasikan pada balance wheel untuk memudahkan jam ditunekan. Untuk kebanyakan model medium-end dan low-end seperti Seiko 7S26, regulatornya hanya di tanda – (untuk perlahan) dan + (untuk laju). Tiada tuning fork atau regulating lever pada indeks.

Pelbagai jenis regulator jam tangan Seiko
Bagaimanakah Cara Untuk Tuning/Regulating Seiko Anda?
Mudah saja, hantar ke kedai jam dan minta sifu-sifu di sana tuning untuk anda! Cara mudah, memang mudah. Tetapi, sifu-sifu atau pembaiki jam tangan harus ada inductive pick-up yang mempunyai amplifier dan quartz oscillator (dipanggil Vibrograf Machine) untuk mengetahui kiraan detik (atau beat) pada regulator sesebuah jam tangan. Ini akan memudahkan jam ditune untuk menjadi lebih tepat (accurate). Electro-inductive pick-up device ini ada pelbagai jenis dan yang paling murah boleh didapati dari jenama buatan China. Ia membolehkan frekuensi (frequency in heartz) pada regulator dikira pada tahap bps, bpm, dan bph. Dengan membuat adjustment pada regulator, kiraan detik pada jam tangan boleh dipadankan mengikut tahap regulator sesebuah movement:
  • 5bps (2.5hz) – 18,000bph
  • 6bps (3hz) – 21,600bph   
  • 8bps (4hz) – 28,800bph  
  • 10bps (5hz) – 36,000bph
Info: Untuk kiraan frequency hz, jumlah beat dibahagi dengan dua. bps = beat per second. bph = beat per hour.

Kebanyakan jam tangan ditune pada kedudukan 'face-down' di mana belakang atau enjin jam boleh dilihat bagi membolehkan movement adjustment. Untuk mendapatkan accuracy pada satu posisi (face-down) bukan lah mudah kerana apabila dipakai, jam tangan masih terdedah kepada tarikan gravity mengikut kedudukan jam dan tangan si pemakai. Oleh itu, pada kedudukan face down, +/- beberapa saat sehari adalah memadai jika tidak melebihi 15 saat. Apabila dipakai, ada kemungkinan jam akan perlahan atau laju selama beberapa saat sehari.

Vibrograf Machine buatan Switzerland.
Jam pada kedudukan 'face-down' di atas pemegang amplitude detector pada Vibrograf
Bagaimana Tuning Tanpa Alatan Di Atas?
Nak beli Vibrograf atau alatan sepertinya? Mahal dan tak berbaloi! Ada yang murah, Made in China. Perlukah kita ada satu? Tepuk dada tanya selera. Namun, kita boleh tuning jam-jam tangan kita guna cara ‘manual tuning’. Tidak kira Seiko mahupun jam-jam tangan jenama lain, prinsip yang digunakan adalah sama.
  • Semakin panjang/kembang hairspring pada kedudukannya – semakin perlahan pergerakan tik-tok regulator
  • Semakin pendek/kuncup hairspring pada kedudukannya – semakin laju pergerakan tik-tok regulator
  • Indeks + atau F/Fast menandakan tahap kelajuan balance wheel (hairspring pendek atau kuncup)
  • Indeks – atau S/Slow menandakan tahap perlahannya balance wheel (hairspring dipanjangkan atau kembang)
  • Panjang atau pendeknya sesebuah balance wheel bergantung kepada jarak antara 'hairspring stud' dengan regulating lever.
Tuning Secara Manual
Step 1 – Pastikan anda mempunyai satu jam analogue quartz atau digital quartz. Ini adalah untuk merakam perjalanan waktu jam yang hendak ditune berbanding dengan jam quartz yang lebih tepat dan konsisten.

Step 2 – Gerakkan regulating lever* mengikut arah kanan atau kiri pada paksi lever dan berpandukan indeks regulator + atau -. Jika dilihat pada gambar di bawah. Arah laju (+) dan perlahan (-) adalah bertentangan. Gerakkan lever sedikit ke kanan atau ke kiri bergantung kepada tahap berapa perlahan atau lajunya jam tangan anda sebelum ini. [* - gunakan tweezer, guna 'watchmaker loupe' atau kanta jika perlu. Pastikan hairspring tidak kena hujung tweezer kerana ditakuti akan merosakkannya/bengkok]

Step 3 – Pastikan hairspring stud tidak dialihkan kedudukannya kerana ia akan menyukarkan untuk regulator diadjust walaupun berpandukan indeks yang ada pada regulator. Melainkan anda mempunyai Vibrograf.

Step 4 – Ambil screwdriver saiz yang bersesuaian dan putarkan screw pada stock atau mainspring barrel mengikut jam untuk beberapa pusingan (maksimum 7 pusingan) supaya barrel boleh memacu pergerakan jam tanpa mengerakkannya (untuk jam automatik). Dengan cara ini jam akan dikunci secara manual (manual winding) dan bergerak selama beberapa jam.

Step 5 – Rakam waktu jam yang ditunekan mengikut jam quartz. Pastikan berbezaan dalam kiraan saat direkodkan. Sebagai contoh, 5 saat cepat setelah jam disynchronize jika jam mekanikal tiada fungsi 'hacking'. Jika boleh hacking, pastikan jam disynchronize tepat dengan jam quartz

Step 6 – Tutup dan biarkan jam tangan yang sudah ditunekan di atas meja pada kedudukan face-up. Selepas 2 atau 3 jam, lihat perbezaan waktu berbanding jam tangan quartz. Jika perlahan atau cepat, tune semula.

Step 7 – Ulang step 5 dan 6. Jika hasilnya +/- 15 saat, accuracy boleh di terima.

Step 8 – Ulang step 5 dan pakai jam di tangan selama satu hari sekurang-kurangnya. Selapas lebih 24 jam atau satu hari, lihat perbezaan masa berbanding jam quartz. Jika +/- 10 saat, accuracy boleh diterima. Jika perlu, tune semula.

Step 9 – Selamat mencuba.

Gambar: Seiko Movement 7S26
"Nak kena practice selalu baru boleh mahir. Kena la sabar dalam mempraktikkan ilmu. Kalau tak sabar, hantar aje ke kedai jam. Biasanya manual tuning mengambil masa dua atau tiga hari. Dapatkan accuracy dalam +/- 15 second memadai untuk jam-jam otai/vintage. Kalau timing tetap terlalu laju atau perlahan, ada kemungkinan jam tangan anda perlu dioverhaul disebabkan masalah pada barrel dan transmission wheel. Ataupun, balance wheel dan hairspring jam tangan anda sudah rosak. Jangan sekali-kali rosakkan/bengkokkan hairspring pada balance wheel - nanti jam and jadi spare part - kalau tak ada spare part!!! Jangan sekali-kali adjust hairspring stud, naya kang! Aku pernah kena sekali. Akhirnya sifu aku di Y.K. Fong (dulu Rainbow Watch) Ampang Park yang tune balik... dah kene keluar fulus. Selamat mencuba." - thetick-thetick

[Semak dan susun semula 19 Februari 2020]

Tick-Talk: Movement ETA Swiss dan Miyota Japan

“Jam Chronoforce GP pakai enjin Jepun. Bagus ke? Ironinya, ramai yang beli jam tangan pasal minat pada design dan jenama. Tapi tak ramai yang tahu apa yang ada dalam case jam tu. Tak ramai tahu yang jam harga mahal-mahal tu kekadang enjin dia puluhan ringgit aje. Ni apa cerita ni bro? Biasa la, Proton Saga lama, Wira, dengan Waja kan pakai enjin Mitsubishi! Kereta Malaysia kan?!! Nak pakai enjin BMW pun bolehhhhh…”- thetick-thetick.

Swiss Haute Horlogerie
Dalam kamus industri pembuatan jam dari Switzerland, 'haute horlogerie' adalah merujuk kepada pengeluar jam tangan yang membangun dan mengeluarkan kesemua komponen-komponen utama (main components) jam tangan di dalam firma itu sendiri tanpa menggunakan bahagian-bahagian (parts) daripada pengeluar lain. Semuanya dibuat in-house dari sekecil-kecil screw sehinggalah sebesar-besar casing jam. Jenama-jenama haute horlogerie yang terkenal adalah seperti Patek Philippe, Blancpain, Jaeger Le-Coutre, Audemars Piguet, Vacheron Constantin, Ulysse Nardin, Piaget, Zenith, Roger Dubois, Franck Muller dan segelintir lagi yang tertumpu di sekitar bandar Geneva, Bienne, Besel, Le-Locle, Neuchatel, dan Schaffhausen di Switzerland. Rolex adalah salah satu haute horlogerie terkenal dari Geneva.

Calibre 3185, in-house movement oleh Rolex.

Swiss Manufacture, ETA, dan Swiss Made
Selain dari haute horlogerie, pengeluar-pengeluar jam tangan Swiss yang lain dan berbagai jenama (Swiss Manufacture) bergantung kepada ebouche atau base movement untuk pembuatan produk-produk mereka. Hampir 80% pengeluar-pengeluar jam tangan di Switzerland bergantung kepada ETA (ETA Montres S.A.) – pengeluar ebouche terbesar dari Switzerland yang pastinya amat kurang diketahui oleh pemilik jam tangan jenama Swiss itu sendiri! Kebanyakkan kita mengenali jenama seperti Omega, Tissot, Longines, TAG Heuer, Oris, Hublot, Fortis, Swatch, dan Breitling. Ada banyak lagi jika ingin disenaraikan di sini. Pengeluar-pengeluar seperti ini menggunakan ebouche atau base movement yang dikeluarkan oleh ETA. Ada pula yang menukar bahagian-bahagian kritikal di dalam ebouche ETA seperti mainspring barrel, regulator, escapement mechanism, balance wheel, hairspring, dan winding system kepada module atau parts rekaan sendiri yang dikatakan mampu memberi ketepatan (accuracy) yang lebih baik. Movement-movement ETA yang diubahsuai (improved atau modified) ini selalunya akan dinamakan dengan nama lain oleh pengeluar-pengeluar jam tangan itu sendiri.

Omega Calibre 2500, berdasarkan ebouche ETA 2892-A2 (Gambar kecil)

Selain ETA, pengeluar-pengeluar di Switzerland turut bergantung kepada Ronda Ltd. yang merupakan saingan kepada ETA. Selain dari ETA dan Ronda, pengeluar-pengeluar jam tangan elit turut bergantung kepada pengeluar-pengeluar mahir (specialist manufacture) seperti La Jour-Peret, Pesseux, Dubois-Depraz, Soprod, A. Schild, Nouvélle Lemania dan beberapa specialist lain. Sebagai contoh, Panerai menggunakan movement ETA Unitas 6497 yang menggunakan hairspring pada balance wheel yang dibuat oleh Soprod. Begitu juga Hublot yang menggunakan barrel (main spring) yang dinaik-taraf (upgrade) oleh Dubois-Depraz untuk movement ETA Valjoux 7750. Kesemua pengeluar haute horlogerie, Swiss manufacture, dan specialist manufacture ini berpusat di Switzerland, dan jam-jam tangan yang di buat di sana mendapat pengiktirafan SWISS MADE.

 Chronoswiss menggunakan ebouche ETA. Signature SWISS MADE (Dalam bulatan).

Penghujung tahun 1990an sehingga pertengahan tahun 2000 menyaksikan banyak pengeluar-pengeluar jam tangan elit dari negara Amerika, Itali, Perancis, German dan England memindahkan kilang-kilang mereka ke Switzerland kerana kekuatan yang ada pada pengiktirafan SWISS MADE. Pengeluar-pengeluar ini adalah seperti Ball, Panerai, Graham, Mont Blanc, Louis Vitton, Hermes, Bvlgari, Hermes, Chanel dan beberapa lagi jenama fashion elit yang berpusat di Paris, Perancis.

Movement lama Panerai menggunakan Unitas 6497 sepenuhnya. Yang terbaru menggunakan Soprod balance wheel hairspring dan dilengkapi Swan Neck Regulator.

Info: Cetakan SWISS MADE (signature) biasanya dicetak di atas dial jam di kedudukan marker pukul 6. Adakalanya bandar di mana ia diperbuat contohnya IWC Schaffhausen, Tissot Le-Locle, Patek Philippe Geneva, Zeno Watch Besel, dll turut dicetak di atas dial bagi menunjukkan signature sesuatu jenama.


Citizen-Miyota (Miyota Co. Ltd. Japan)
Ramai orang memakai jam tangan jenama Citizen. Akan tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang Miyota dari negara Jepun. Miyota, seperti ETA dan Ronda adalah pengeluar movement-movement jam tangan mekanikal dan quartz. Pengguna utama movement buatan Miyota adalah syarikat bersekutunya iaitu Citizen Watch Co. of Japan. Kesemua keluaran jam tangan mekanikal Citizen menggunakan movement Miyota. Model Eco-Drive pula menggunakan movement quartz Miyota yang diintegrasikan dengan module khas untuk menyerap tenaga cahaya, ditransformasi dan disimpan sebagai kuasa bateri jam tangan ciptaan Citizen. Citizen turut membangunkan 'digital-analogue movement' sendiri yang mana tidak dikeluarkan oleh Miyota. Citizen hanya menggunakan Miyota untuk model-model tertentu. Q&Q, jenama kedua (subtitute brand) kepada Citizen menggunakan movement quartz Miyota sepenuhnya untuk model-model keluarannya.

 Citizen Cal8200 adalah Miyota Cal8215. Cuma rotor plate diubah.

Selain untuk kegunaan model-model keluaran Citizen dan Q&Q, Miyota turut menjual movement-movementnya kepada pengeluar-pengeluar lain di serata dunia. Casio, salah satu pengeluar jam tangan dari Jepun turut menggunakan movement Miyota OS10 dan OS20 terutamanya untuk model-model analogue dan analogue-chronograph.

 Miyota OS10, movement chronograph quatz register 60 saat, 60 minit, dan 12jam dan haribulan. Konfigurasi dial yang biasa kita lihat pada jam-jam berjenama seperti Nautica, Fossil, dan Guess.

Swiss Movement dan Japan Movement
Pengeluar-pengeluar jam tangan bukan hanya berpusat di Switzerland dan Jepun tetapi turut berada di Amerika Syarikat, Itali, Perancis, India, Hong Kong, Denmark, Sweden, German, dan negara-negara lain. Hampir kesemua pengeluar-pengeluar ini bergantung kepada ETA, Ronda, dan Miyota. Di Negara Rusia, disamping menggunakan 'Russian Movement', pengeluar-pengeluar jenama elit di sana seperti Poljot International turut menggunakan ETA dan Ronda. Hanya segelintir pengeluar German yang mengeluarkan movement sendiri seperti A. Lange & Sohné, Union Glashütte, dan Glashütte Original. Yang lainnya menggunakan ETA, Ronda, dan Miyota.

Pengeluar-pengeluar jam tangan yang menggunakan movement-movement ETA, Ronda dan Miyota biasanya akan mencetak (signature) SWISS MOVT atau JAPAN MOVT pada dial jam tangan keluaran mereka. Jenama yang menggunakan SWISS MOVT lebih mendapat perhatian kerana menggunakan movement dari Switzerland yang majoritinya dikeluarkan oleh ETA. Sementara JAPAN MOVT pula dimonopoli oleh Miyota.

Jenama Invicta dari Amerika Syarikat banyak menggunakan movement ETA dan Miyota. Dari segi teknik pemasaran, Invicta biasanya menggunakan dua jenis movement yang berlainan – satu Swiss dan satu Jepun untuk sesuatu model bagi memberi pilihan harga kepada pembeli. Biasanya SWISS MOVT berharga lebih tinggi. Ini boleh juga kita lihat pada barisan produk-produk jenama fesyen seperti Guess dan Nautica. Product Guess Collection (GC) lebih berharga tinggi kerana menggunakan SWISS MOVT berbanding barisan produk-produk lain yang menggunakan JAPAN MOVT. Namun, jarang kita lihat cetakan JAPAN MOVT pada jam Guess mahupun Nautica kerana persepsi pembeli yang berbeza terhadap kualiti keluaran Jepun berbanding Switzerland.

 Invicta Swiss Movt ETA 2824-2 dan Japan Movt Miyota 8215

Pengeluar jam tangan dari Itali seperti T. Buti, Locman, U-Boat, Anonimo dan beberapa jenama lain kebanyakkanya menggunakan movement ETA dalam keluaran mereka. Begitu juga di negara Perancis; jenama LIP, St. Honore, dan Michael Herbelin turut menggunakan movement yang sama.

Banyak jenama-jenama fesyen di dunia menggunakan movement Miyota seperti jenama Bum Equipment, Timberland, Tommy Hilfiger, Elle, Elleyse, Lacoste, dll. Jenama Solvil-et-Titus dari Switzerland turut menggunakan movement Miyota untuk model-modelnya yang dikeluarkan di Hong Kong. Movement Miyota biasannya digunakan untuk jenama Titus dan dijual pada harga yang agak murah berbanding model SWISS MADE. Jam-jam Solvil-et-Titus keluaran Hong Kong banyak dijual di rangkaian kedai jam City Chain. Kepelbagaian movement Miyota menyebabkan banyak pengeluar-pengeluar jenama fesyen dunia menggunakan movement-movementnya untuk mengeluarkan jam-jam tangan jenama sendiri.

Made in Germany
Berbeza dengan pengeluar jam tangan dari German, pengeluar-pengeluar yang menggunakan movement ETA, Ronda mahupun Miyota tidak mencetak signature SWISS MOVT atau JAPAN MOVT pada jam tangan keluaran mereka. Sebaliknya, pengeluar-pengeluar ini akan mencetak perkataan GERMAN MADE atau MADE IN GERMANY pada jam-jam tangan keluaran mereka. Ini boleh didapati pada jam-jam tangan berjenama dari German seperti Limes, Sinn, Tutima, Muhle Glashütte, Junkers, Aeromatics, dan Zeppelin.

 A Lange & Sohne dan Union Glashütte. Setaraf haute horlogerie dari Switzerland.

Tutima, jenama jam tangan yang diiktiraf pakatan tentera NATO untuk jam tangan chronographnya banyak menggunakan movement Nouvélle Lemania terutamanya Caliber 5100. Turut digunakan adalah ETA Valjoux 7750. Sinn, jenama yang pertama menggunakan 'Submarine Steel' dan 'Argon Gas' pada jam tangan keluarannya bergantung sepenuhnya kepada keupayaan ETA 2824-2 dan ETA 2836-2 untuk model U1 dan U2. Model Sinn 'Diapal' pula menggunakan movement ETA Valjoux 7750 yang diubahsuai.
 
 Tutima dan Muhle Glashütte, guna movement ETA.

Jenama Junkers dan Zeppelin yang diambil sempena nama pesawat terbang dan belon udara pula banyak menggunakan kedua-dua movement ETA dan Miyota. Model-model quartz Junkers dan Zeppelin kebanyakannya menggunakan movement Miyota sementara model mekanikal menggunakan ETA dan Ronda.
 
 Junkers GMT Made in Germany, guna movement Miyota.

ETA dan Miyota Tiruan Buatan China
Di zaman serba canggih ini, penggunaan Rapid Prototype Machine (RPM) telah memberi banyak impak di dalam bidang kejuruteraan samada untuk tujuan Research & Design (R&D) mahupun untuk tujuan "menciplak atau meniru". Ramai antara peminat-peminat jam tangan tahu akan jam-jam tangan jenama tiruan dari negara China. Banyak di jual di Malaysia, bukan hanya di P.S. Boutique (Petaling Street) malah di serata tempat. Ada pelbagai gred. Ada Swiss movement/Swiss Grade, AAA, AA, dan yang tiada A langsung! Kebanyakkan jam-jam tangan berjenama tiruan ini menggunakan movement yang ditiru dari Miyota dan ETA. Bukan hanya untuk jam tangan calendar bahkan chronograph mekanikal turut ditiru. Untuk jam chronograph, gred AAA biasanya menggunakan 'Asian Valjoux' yang diciplak mengikut konfigurasi dial 7750 dan 7753!!!

Apa yang pastinya; movement mekanikal Miyota 8215, ETA 2836-2, dan ETA Valjoux 7750/53 adalah yang paling banyak digunakan di dalam jenama-jenama tiruan. Paling mengejutkan adalah movement ETA 2836-2 yang ditiru menggunakan bahan dan pembuatan yang hampir sama dengan yang asli. Ini dijual dengan harga mahal seakan-akan jam yang ditiru itu menggunakan movement Swiss yang asli. Awas, jangan tertipu! Saiz 'incabloc cage' ETA tiruan (ETA Asia!) lebih lebar berbanding ETA asli. ETA tiruan tidak mempunyai nombor siri keluaran dan production code. Cuma yang ada hanyalah logo ETA dan nombor movement ETA 2836-2.
 
China Fake Miyota Cal8215

 Swiss ETA dan Asian ETA Movement 2836-2. Kalau sekali pandang, ada beza?

Kesimpulan
Sejak bermulanya zaman transformasi dari jam poket kepada jam tangan di awal tahun 1920an, banyak jenama-jenama jam tangan tumbuh di dalam dan di luar Switzerland. Jenama-jenama ini kebanyakannya bergantung kepada hanya beberapa pengeluar ebouche pada ketika itu. Kerana itu jam tangan di era 1920an sehingga penghujung 1950an mempunyai konfigurasi dial dan counter yang hampir sama. Kebanyakannya menggunakan movement A. Schild (AS), Venus, Valjoux, Lemania, dan ETA. Kebergantungan kepada ETA semakin meningkat setelah jam tangan menjadi semakin mampu-milik dan percambahan jenama-jenama baru yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di sekitar awal 1960an dan sehingga kini. Kepelbagaian movement mekanikal dan quartz oleh ETA turut diikut oleh Miyota yang ditubuhkan di Jepun pada pertengahan 1970an. Kedua-duanya mempunyai kelas tersendiri bagi mengerakkan jam-jam tangan pelbagai jenama yang terdapat di seluruh dunia. ETA yang berasal dari Switzerland adalah lebih mewah dan dikagumi pembeli sementara Miyota dari Jepun berada di pasaran bawahan yang mampu dibeli pada harga rendah. Dari segi kemampuan, Miyota hanya kurang dari kepelbagaian movement mekanikal berbanding ETA. Namun, dari segi quartz, Miyota adalah agak seimbang. Kos movement-movement produk Miyota lebih murah sehingga banyak pengeluar jenama fesyen menggunakannya untuk jam tangan keluaran mereka. ETA adalah pilihan Utama jenama-jenama pengeluar dari Switzerland.

"Tahukah anda bahawa jam tangan TAG Heuer Tiger Wood Golf quartz (gambar atas) yang harganya dua tiga ribu ringgit menggunakan movement Ronda yang kosnya kurang dari RM100? Mungkinkah kerana casing dan talinya yang dikatakan diilhamkan oleh Tiger Wood dan jenama TAQ Heuer itu sendiri makanya jam itu dijual dengan harga sebegitu tinggi? Bayangkan Mercedes Benz menggunakan enjin Proton Gen-2 Campro! Adakah anda akan membelinya? Beli jenama!" – thetick-thetick.
[Semak dan susun semula 12 April 2020]

Monday, 11 October 2010

Tick-Talk: Vintage Chronograph – Seiko vs Citizen

“Seiko Bullhead, Seiko Monaco, Seiko Calculator, Seiko UFO… Citizen Bullhead, Citizen Mickey Mouse… apa lagi? Macam-macam gelaran peminat chrono-vintage bagi kat jam-jam keluaran dua ekor raksasa Jepun nih ”- thetick-thetick.

1970an Trend Jam Tangan Sports
Tahun 70an merupakan era jam tangan Sporty. Pengeluar dari Switzerland dan matahari terbit berlumba-lumba mengeluarkan jam-jam tangan yang versatile dan sporty. Boleh dipakai ke pejabat dan santai. Jam-jam tahun 70an memang bulky dan meriah dengan warna-warni pada jarum jam, dial, bezel dan hour-marker. Kebanyakannya menggunakan tali besi dan crystal daripada kaca tebal. Jam tangan chronograph merupakan jenis yang begitu popular sejak bermulanya perubahan radikal jam-jam tangan sports pada penghujung tahun 1960an.

Jam Tangan Sports 70an – Bulky and Colorful

Chronograph Mekanikal: Pengeluar Switzerland dan Jepun
Kebanyakkan pengeluar-pengeluar jam tangan chronograph mekanikal dari Switzerland di tahun 60an dan 70an bergantung kepada movement Venus, Valjoux, Leonidas, Lehmania, Zenith El-Primero, Le-Joux Perret, dan ETA. Sebagai contoh: Rolex Cosmograph menggunakan Zenith El-Primero, Omega menggunakan Lehmania, dan Heuer (kini TAG Heuer) membangunkan in-house chronograph movement bersama Leonidas (Heuer-Leonidas). Di negara matahari terbit, Seiko dan Citizen turut serta membangunkan in-house movement sendiri. Berbanding Citizen dan pengeluar dari Switzerland, Seiko adalah pengeluar yang paling banyak mencipta dan mengkomersilkan movement chronograph mekanikalnya seperti caliber (CAL) 45899, CAL5717, CAL5718, CAL5719, CAL6138, CAL6139, CAL7015, CAL7016, CAL7017 dan CAL7018. Sejarah turut menyaksikan Seiko sebagai peneraju penggunaan "Vertical Clutch Column Wheel" chronograph yang menjadi ikutan (dan standard) pengeluar-pengeluar movement chronograph mekanikal sehingga kini. Di era 80an, Seiko dan Citizen bersaing sengit antara satu sama lain dari segi pengeluaran chronograph quartz dunia di mana pengeluar Swiss hanya bergantung kepada ETA dan Ronda.

Seiko dan Citizen Chronograph 70an – Satu Perbandingan
Secara umumnya jurang perbezaan antara Seiko dan Citizen memang besar. Citizen lebih mirip kepada pengikut (follower) manakala Seiko lebih kepada peneraju (leader) dalam pembuatan jam-jam tangan. Orient, di tangga ketiga turut menuruti jejak langkah Seiko dan Citizen dalam mengharungi pasaran jam tangan dunia. Dari sudut teknikal dan komersil; Citizen, walaupun dibayangi kekuatan Seiko turut bersaing secara tersendiri di dalam pembuatan jam-jam tangan chronograph. Berikut, satu analisa yang telah saya buat terhadap kedua-dua pesaing kuat dari negara matahari terbit ini.

1. Kekuatan Jenama
Dari segi kekuatan jenama (brand) di pasaran, Seiko lebih menyerlah berbanding Citizen. Seiko, dengan kepelbagaian model dan peneraju pasaran jam tangan sports ketika itu bukanlah saingan Citizen malah pesaing kuat jenama-jenama handal dari Switzerland.

2. Pioneer Model – Silent Chronograph
Seiko lebih awal mengeluarkan model chronograph mekanikal menggunakan CAL45899. Model Seiko CAL45899 yang merupakan jam tangan "single pusher hand-winding chronograph" adalah hasil ikutan trend yang dicetus oleh pengeluar-pengeluar dari Switzerland. Di keluarkan di sekitar penghujung 1950an, model CAL45899 adalah chronograph mekanikal tanpa "sub-second" dan digelar sebagai "silent-chrono". Penggunaan sub-second adalah standard kepada pengeluar Swiss dari dahulu sehingga kini. CAL45899 seterusnya dibangunkan dengan "chronograph recorder mechanisme" yang lebih baik pada siri CAL5717, CAL5718, dan CAL5719 di sepanjang awal 1960an. Seiko mula menggunakan "tachymeter" pada CAL5718. Berbanding Seiko, Citizen turut mempunyai pioneer modelnya – model 63-XXXX yang mula dipasarkan pada penghujung tahun 60an. Juga silent-chrono, model Citizen menggunakan 2 pusher (push button) dan lebih canggih dari segi paparan dial, marker, side rule dan bezel. Namun begitu, model siri 63 tiada calendar.

Silent-Chrono: Seiko 5717 - Single Pusher dan Citizen 67-9119 - Double Pusher

3. Chronograph Register dan Rekabentuk Jam Tangan
Perubahan radikal jam tangan sports di penghujung 1960an menyaksikan Seiko dan Citizen mula bersaing secara terus dari segi rekabentuk. Tetap dengan konsep silent-chrono, Seiko dan Citizen mula mengeluarkan model two-register (atau two-counter) dan three-register chronograph tanpa sub-second.
Konfigurasi yang sama. Mana bagus?

Citizen (model 63-0314) lebih awal menggunakan side rules untuk kegunaan sukan Rally berbanding Seiko 5 Sports Speedtimer (model 7017-6050).

Seiko CAL6138 dan CAL6139 tidak banyak bezanya dari segi luaran berbanding model Citizen 67-XXX. Trend yang serupa, namun untuk menukar tarikh, jam tangan Seiko hanya perlu ditekan crown. Citizen menggunakan winding stem.

Peminat dan pengumpul jam tangan chronograph vintage menggelar rekabentuk chronograph di mana pusher dan crown diletakkan di kedudukan antara 11 hingga 1 sebagai "Bull head". Ini adalah kerana ia mirip kepala lembu. Seiko, Citizen, dan Bulova (jenama Swiss) mempunyai rekabentuk Bullhead 3 register yang hampir sama. Ada juga jenama Swiss yang mengikut rekabentuk yang sama. Di kalangan peminat Citizen, model 67-9011 dan 67-9020 yang mempunyai rekabentuk yang sama memanggilnya sebagai Mickey Mouse memandangkan saiznya yang agak kecil sedikit. Masing-masing, Seiko dan Citizen mempunyai signature model yang tersendiri.

Laga lembu. Yang kanan (Citizen 67-9356) lebih sukar didapati.

Citizen Mickey Mouse model 67-9011 dan 67-9020

Dari segi keunikan rekabentuk luaran dan movement, Citizen akur akan keupayaan Seiko mengeluarkan "combo-register" melalui model CAL7016. Bahkan penggunaan combo-register hanya terdapat pada jam tangan Seiko manakala pengeluar-pengeluar Swiss masih meneruskan tradisi sub-second dan "multi-register".

Seiko 7016-5020. Combo Register yang jarang ditemui.

Info: Main dial adalah merupakan register nombor 1 (main register) untuk rakaman masa dalam saat, register kedua adalah untuk rakaman masa 30 minit, dan register ketiga adalah untuk rakaman masa 12 jam. Ada juga combo-register di mana 30 minit dan 12 jam disatukan seperti model Seiko CAL7016. Two-register (2R) dan three-register (3R) adalah konfigurasi perakam chronograph yang biasa kita temui pada jam tahun 70an.

4. Chronograph Movement
Memang Seiko mempunyai rangkaian movement chronograph yang banyak berbanding Citizen. Namun dalam pada dibayangi oleh Seiko, Citizen adalah lebih baik! Kenapa? Kita tolak tepi populariti jenamanya. Movement Seiko yang paling mendapat sambutan adalah Cal. 6138-3R sementara Citizen adalah Cal. 8110-3R. Apa bezanya?

Seiko 6138B dan Citizen 8110A. Citizen regulator (gambar Kecil).

Ini bukannya perbandingan secara umum. Sebagai benchmark, jika dibanding kedua-duanya movement ini:

• Movement finishing: Seiko Stainless Steel – Citizen Stainless Steel Nickel Plated
• Recorder Wheels: Seiko Stainless Steel – Citizen Stainless Steel Cupro-nickel Plated
• Jewels: Seiko 21 jewels – Citizen 23 jewels
• Regulator: Seiko Centre-bridge design – Citizen L-bridge design
• Regulator Beat: Seiko 5bps (18,000bph) – Citizen 6bps (21,600bph)

Info: Movement Zenith El-Primero Chronograph (3R + sub-second) adalah satu-satunya yang mempunyai nadi 10bps (36,000bph). Movement lain dari ETA, Valjoux, Lemania dan La-Joux Perret hanya pada tahan 8bps (28,800bph). Kerana itu jam tangan vintage chronograph Swiss yang menggunakan movement-movement ini lebih mahal berbanding Seiko dan Citizen. Lagi tinggi tahap bps/bph, lebih tepat rakaman chronograph (chronograph record).

Kesimpulan
Memang Seiko peneraju jam sports di tahun 70an, pesaing kuat kepada pengeluar Swiss di pasaran jam tangan sports. Seiko adalah pengeluar in-house chronograph mechanical movement yang paling banyak di dunia dan menerajuinya sehingga kini. Model-modelnya yang dipelbagaikan dengan pengenalan movement-movement baru yang lebih canggih dan accurate memang sentiasa mendapat tempat di kalangan pengumpul-pengumpul jam tangan chronograph. Citizen, walaupun agak terkemudian bukanlah calang-calang pesaing. Movementnya lebih bagus dari Seiko. Namun kerana populariti jenama Seiko dan kepelbagaian model di pasaran 70an, Citizen agak kurang diminati. Kini, di pasaran jam tangan vintage, model Seiko mempunyai nilai yang lebih tinggi. Pada pendapat saya, ini adalah disebabkan populariti jenama. Jika dibandingkan dari segi teknikal, Citizen lebih bagus movementnya. Lihat saja pada model Bullhead; bergantung kepada kondisi, harga Seiko lebih mahal berbanding Citizen Bullhead. Model Citizen Mickey Mouse yang menggunakan movement 8110A walaupun lebih bagus dari segi teknikal namun dinilai agak rendah berbanding Seiko 6138-Bullhead. Padahal dari segi ketepatan rakaman masa (time-recorder), regulator Citizen pada tahap 6bps lebih bagus dari Seiko yang hanya pada 5bps.

Seiko 6139-7002 c1973 – 30 minutes register with 1/100th of minute side rule. Aku punya favourite.

“Lumrah. Jam vintage jenama popular lebih bernilai tinggi berbanding model yang entah hapa-hapa punya nama. Kurang glamour kuttt… Ikut minat. Ramai minat pada jenama. Minat pada model. Yang penting adalah ketepatan (accuracy) recorder sesuatu chronograph movement. Jadi, yang mana satu korang suka?...patukan krononya harus akurat pak! Komen sahabat arloji aku dari Kebayoran Baru, Jakarta.” Pendapat aku – thetick-thetick
[Semak dan susun semula 12 April 2020]

Wednesday, 6 October 2010

Tips: Berapakah Umur Jam Tangan Vintage Anda?

"Berapa umur jam tangan kita? Ini soalan yang sentiasa ditanya oleh pengumpul-pengumpul jam tangan vintage dan antik. Ada jenama yang mudah untuk dikenal pasti umurnya namun secara umumnya agak sukar. Bagaimana mengagak umur jam-jam ni?"- thetick-thetick.

Umur Jam Tangan Vintage, Mengapa Sukar Ditentukan?
Ada beribu-ribu jenama dan pengeluar jam tangan wujud sejak terciptanya jam poket dan kemudiannya jam tangan. Sejak dari kurun ke 16 di sekitar tahun 1700! Sebagaimana dinyatakan di dalam artikel sebelum ini, tahun 1920an merupakan tahun transformasi dari jam poket kepada jam tangan. Model transformasi ini dipanggil 'transition model'. Untuk mengetahui umur jam tangan kita secara tepat memang sukar kerana kebanyakan pengeluar-pengeluar jam tangan tidak menerbitkan (publish) jadual-jadual atau senarai siri pengeluaran jam tangan mereka kepada umum. Kalau ada pun, terlalu sedikit. Artikel ini hanya memfokuskan jam-jam tangan vintage dari tahun 1920an sehinggalah tahun 1970an, bagaimana kita mengenalpasti umurnya.

Nombor Model, Siri, Movement, dan Tahun Pengeluaran
Pembuat-pembuat jam tangan dari Switzerland (Swiss) mempunyai cara mereka sendiri bagi menentukan umur jam-jam keluaran mereka. Secara umumnya pengeluar-pengeluar jam Swiss mempunyai siri-siri model keluaran mereka. Setiap model mempunyai nombor siri (model serial number) bagi menentukan tahun pengeluaran. Sebagai contoh, Patek Philippe menggunakan Reference No bagi setiap barisan model-model keluarannya. Di samping nombor model, nombor siri movement (movement serial number) juga menentukan tahun pengeluaran sesebuah jam tangan. Ini diguna pakai oleh Omega dimana umur keluaran sesuatu jam tangan itu dapat dirujuk pada nombor siri pada movement plate. Rolex, jenama terkenal dari Geneva Switzerland pula menggunakan serial number pada casing (pada lugs) jam tangan bagi mengetahui tahun pengeluarnya. Jam tangan Seiko mulai keluaran tahun 60an sehingga sekarang mempunyai kod nombor siri di caseback yang mudah untuk dikenalpasti tahun pengeluarannya. Bagaimana menentukan umur jam-jam tangan yang lain? Agak sukar untuk mengenalpasti secara tepat jika pengeluar sendiri tidak menerbitkan rujukan-rujukan untuk menunjukkan tahun-tahun dan model keluaran mereka. Namun begitu, kita boleh mengagak umur sesuatu jam vintage dengan melihat pada trend dan gaya (style) pembuatannya.

Omega Vintage, nombor siri pada movement plate (dalam bulatan) menentukan tahun jam tangan dikeluarkan.
Trend dan Gaya
Setiap jam tangan mempunyai rekabentuk (design) dan gaya tersendiri. Ia dipengaruhi oleh trend pada sesuatu masa samada dari segi penggunaan bahan pembuatan jam tangan itu sendiri, dial detailing, bentuk jarum (hand), crown, lugs, dsbg. Trend-trend sentiasa berubah. Sebagai contoh, sejak pertengahan tahun 2000, pengeluar-pengeluar mula beralih kepada jam tangan bersaiz besar melebihi saiz 40mm. Bagaimana pula trend-trend jam vintage? Berikut, trend-trend jam tangan dari tahun 20an sehingga tahun 70an.

1920an
Kebanyakkan jam 1920an mempunyai jarum yang tebal, paten casing yang berukiran (engraved patterns) kasar dan design yang agak unik. Jam-jam tangan era 20an adalah jenis Deco style.

Jam Elgin c1925 - jarum yang besar dan ukiran pada case jam yang agak kasar.
1930an
Tahun 1930an menyaksikan pertukaran gaya dari ukiran kasar kepada lebih halus. Ia masih mengekalkan konsep Deco style sebagaimana di tahun 1920an. Menjelang lewat tahun 1930an, jam tang lelaki lebih masculine. Jam tangan empat segi (tank watches) menjadi fesyen yang banyak dikeluarkan. Ini adalah disebabkan terhasilnya ciptaan movement jam yang berbentuk empat segi pada pertengahan tahun 1930an. Sebelum itu, movement jam berbentuk bulat dan ini menghadkan bentuk rekaan jam.

Jam Elgin c1931 - kekal dengan Deco Style namun lebih nampak 'Suttle'
1940an
Jam tangan tahun 1940an tidak banyak beza dari tahun 1930an. Hanya terdapat beberapa perubahan yang agak simple nampuk kekal masculine. Casing dan dial mula diperhalusi. Begitu juga indeks (atau hour marker) pada jam tangan dicetak lebih kemas. Jam tahun 1940an masih bersaiz kecil seperti di tahun 1920an dan 1930an.


Royce 1940an - masih kekal dengan Deco Style dengan Fancy Lugs. Dial mula diperhalusi.
1950an
Tahun 1950an menyaksikan bentuk jam tangan yang mulai berimejkan gaya menarik (expressive), futuristic, dan berkonsepkan automasi (automation). Tahun 1950an menyaksikan banyak jam tangan automatik mula dipasarkan. Setelah berakhirnya perang dunia ke 2; ekonomi negara-negara di dunia mulai pulih dan berkembang dan teknologi mula dibangunkan semula. Begitu juga dengan pengeluaran jam tangan sekitar tahun 1950an. Jam berbentuk bulat dan empat segi (Tank) walaupun ia menjadi bentuk atau style semasa namun terus melalui perubahan.

Movado Calendar 1950an - menampakkan kelainan, expressive & futuristic.
1960an
Kebanyakkan jam tangan tahun 60an berbentuk bulat. Rekabentuk dan stylenya boleh dikatakan agak moden dan menarik. 1960an menyaksikan saiz jam yang agak besar dari dekad-dekad sebelumnya. Jarumnya lebih halus dan mula menggunakan bahan luminous untuk membaca waktu pada waktu malam. Point penunjuk pada jarum mula diperhalusi, begitu juga dengan indeks pada dial bagi menunjukkan ketepatan masa. Dial jam tangan menjadi fokus utama dan menjadi lebih besar sementara watch case diperkukuhkan. Lugs pada jam tahun 1960an lebih pendek sementara crown semakin tebal disebabkan penggunakan water-proof gasket pada dalam crown. Secara keseluruhan, trend 1960an mula menampakkan titik perubahan yang agak radikal sebagaimana berlaku dipenghujung tahun 1960an.

Universal Geneva Calendar 1960an - bezakan dengan Movado 1950an. Casing yang lebih symmetrical, begitu juga dial, hands arrangement, dan crown yang lebih tebal.
1970an
Tak perlu diperincikan. Lihat saja pada gambar di bawah. Ia menceritakan suasana budaya ketika era 70an. Segalanya radikal dengan kepelbagaian fesyen rambut seperti 'afro-look', seluar panjang 'bell-bottom', kacamata yang besar, begitu juga jam tangan. Jam tangan 1970an mudah dikenalpasti kerana trendnya yang terlalu banyak berbeza berbanding 1960an seperti saiz yang agak besar, dial yang lebih symetrical dan indeks yang menarik, bentuk yang pelbagai dan unik, jarum yang masculine dan sporty, tali besi, crystal jam diperbuat dari kaca dan tebal, kombinasi warna-warni, sporty, rugged, ... sesuai dengan budaya ketika itu. Yang pastinya jam tangan tahun 1970an lebih berat!!!

Omega Seamaster Chronograph 1970an - sporty, colorful, rugged, but...heavy!
"Jenama Seiko mula menarik perhatian pasaran dunia di penghujung 1960an dan menerajui pasaran dan trend jam sports pada tahun 1970an. Kerana itu pengumpul-pengumpul jam tangan vintage sport di negara barat memang meminati dan ingin memiliki Seiko sebagai sebahagian dari koleksi mereka." - thetick-thetick
[Semak dan susun semula 19 Februari 2020]