Sunday, 29 November 2009

Pengetahuan: Anatomi Jam Tangan Bhg. 2

Di dalam bahagian pertama, saya telah paparkan bahagian-bahagian utama sesebuah jam tangan. Mengapa ia dipanggil jam tangan? Sudah tentulah ia dipakai di tangan dan ada “tali” yang mengikatnya. Dalam bahasa Malaysia, memang tali lah perkataan yang paling sesuai digunakan untuk menunjukkan bagaimana jam dipakai pada pergelangan tangan kita. Macam tali pinggang dengan tali kasut lah, asalkan boleh ikat-buka sudah lah!

Strap dan Bracelet
“Strap dan bracelet” adalah terminologi yang diguna-pakai oleh industri. Saya tidak mahu menterjemahkannya kepada bahasa Malaysia kerana ia mungkin “lain” dari maksud panggilan yang fungsinya. Memadailah kita panggil “tali jam”.

Strap adalah merujuk kepada tali jam (watches strap) yang diperbuat dari kulit, fabrik, getah, plastik, atau kombinasi dari bahan-bahan tersebut. Ia disambungkan ke jam menggunakan “spring bar”. Spring bar adalah batang besi yang berbentuk tiub di mana di dalamnya terdapat spring yang membolehkan bahagian tiub yang lebih kecil diameternya di kedua-dua hujung tiub bergerak anjal untuk mengunci strap yang dipasang pada lubang (pin hole) yang terdapat pada bahu (shoulder) jam. Keanjalan spring bar untuk memendek dan memanjang membolehkan strap dipasang dan dibuka semula.

Illustrasi 1 - Spring bar
Spring bar; mengikut saiz yang bersesuaian juga digunakan untuk mengikat buckle tali jam (watches strap buckle). Jam yang menggunakan strap dipasang pada pergelangan tangan dengan menyambung kedua-dua bahagian strap menggunakan buckle dan diikat dengan menggunakan buckle lock yang disekat pada lubang-lubang pada tali jam (strap hole) – senang cerita, seperti memakai tali pinggang.

Bracelet pula adalah merujuk kepada tali jam yang diperbuat dari bahan keluli (besi, emas, platinum, dan sebagainya) bersesuaian dengan bahan sesuatu jam itu dibuat. Kita biasa memanggilnya “tali besi”. Berbeza dengan strap, bracelet diikat pada pergelangan tangan dengan mengunakan clasp buckle atau bracelet lock. Pada permukaan clasp buckle inilah biasanya kita dapati jenama jam diukir (etching) atau di stamp. Pelbagai cara digunakan untuk memastikan bracelet diikat pada pergelangan tangan bergantung kepada pembinaannya (bracelet lock construction). Panjang atau pendek bracelet boleh disesuaikan dengan saiz pergelangan si pemakai dengan mengunakan spring bar yang dipasang pada satu hujung bracelet. Spring bar akan disekat pada bracelet lock atau bracelet buckle mengunakan beberapa extension pin hole. Memandangkan saiz bracelet sudah dikunci menggunakan extension pin – bahagian clasp/deployment yang diintegrasikan bersama buckle membolehkan jam tangan dipasang dan ditanggalkan dengan selesa. Clasp/deployment yang bersifat seperti buku yang boleh dibuka dan ditutup membolehkan bracelet memanjang dan memendek bagi memberi ruang untuk jam disarung ke pergelangan tangan. Bergantung kepada pembinaannya, ada clasp/deployment yang mempunyai dua lipatan buku bersebelahan ataupun dipanggil double deployment.

Sepertimana strap, bracelet juga disambungkan pada bahagian jam menggunakan spring bar. Bergantung kepada pembuatan sesebuah jam tangan, ada bracelet yang disambung menggunakan skrew. Di bahagian shoulder jam biasanya akan dibuat lubang untuk mengikat bracelet dengan menggunakan skrew tersebut. Bahagian yang menyambungkan bracelet dengan jam dipanggil bracelet shoulder. Bracelet shoulder digunakan bukan setakat untuk menyambung malah untuk menutup bahagian lug sesebuah jam bagi kelihatan kemas. Pembuatan seperti ini dipangil disintegrated bracelet. Integrated bracelet pula adalah sebaliknya di mana bracelet shoulder dibina bercantum di kedua-dua hujung bahagian penyambung bracelet kepada jam tangan.

Illustrasi 2 - Bahagian-bahagian pada straps and bracelets
Seterusnya, kita akan mempelajari bagaimana jam tangan berfungsi dan teknologi-teknologi yang digunakan dari awal pembuatan jam tangan sehingga ke hari ini.
[Semak dan susun semula 20 Februari 2020]