Jam Tangan Vintage Jenama Swiss
Jikalau ingin disenaraikan teramatlah panjang; terdapat hampir seribu jenama vintage dari Switzerland. Samada jenama tersebut masih dikeluarkan atau tidak, memang terdapat banyak jenama dari Switzerland yang membanjiri pasaran dunia pada sekitar awal tahun 1900 sehinggalah penghujung tahun 70an. Di dalam pengkalan data saya sahaja terdapat hampir 700 jenama! Yang biasa dengar, dan tergeliat lidah untuk disebut pun ada. Ada satu jenama yang bila kita sebut akan berbunyi seperti pelat Negeri Sembilan, polek bunyi nyo jang! Jenama “Polek” adalah salah satu dari ribuan jenama jam tangan Swiss. Cuba cari di Amcorp Mall flea market, pasti anda akan jumpa. Cuma jenama “Lolex” sahaja pasti tidak akan ditemui!
Apapun jenama Swiss, umur, kondisi, rekabentuk, fungsi, dan movement; pasarannya tetap hidup kerana adanya “demand & supply”. Namun begitu, pasaran jam vintage Swiss dikuasai oleh “mood pembeli” dan ekonomi semasa. Tersenarai di bawah, analisa saya:
In-house Movement
Jenama-jenama yang menggunakan in-house movement memang sentiasa mendapat permintaan yang tinggi dikalangan pembeli dan pengumpul jam tangan vintage. Memang diakui, jenama seperti Patek Philippe, Jaeger Le-Coutre, Breguet, Ulysse Nardin, Vacheron Constantine, Audemars Piguet, Blancpain, Zenith, dan jenama Haute Horlogerie yang lain memang amat payah ditemui di pasaran Internet dan flea market di Malaysia. Mungkin ia hanya berlegar-legar dikalangan pengumpul-pengumpul elit sahaja. Harga-harga jenama ini adalah lebih kepada “hammer auction price” ataupun “willing buyer – willing seller price”. Pasarannya amat kecil dan bergantung kepada kuasa beli dan “availability” jenama-jenama tersebut.
ETA, Ronda, dan A. Schild Movement
Tiga ebouche yang paling banyak digunakan oleh jenama vintage dari Switzerland adalah ETA, Ronda dan AS (A. Schild). Jam-jam vintage yang menggunakan movement jenis ini tidak pernah surut dari pasaran semasa. Tissot, Titoni, Rado, Enicar, Mido, Titus, Solvil et Titus, Zodiac, dan Bulova adalah jenama vintage Swiss yang sentiasa mendapat tempat di pasaran Malaysia. Jam-jam jenama ini selalu bertukar-tangan dikalangan pembeli dan penjual. Oleh kerana itu harganya semakin menurun. Apatahlagi kebanyakan jenama ini adalah jenis sporty-dress dan bersaiz kecil antara 32mm hingga 36mm menjadikannya semakin kurang diminati. Hanya model sports seperti diver dan chronograph sahaja yang sentiasa mendapat nilaian tinggi namun agak jarang terdapat di pasaran.
Edward A Woldman & Co. Jam diver jenama Swiss menggunakan ETA8810 single jewel hand-wind movement. Pernah dengar jenama ni?
Jenama Breitling, Tudor, dan Longines adalah tiga jenama vintage menggunakan movement ETA yang mendapat nilaian harga tinggi sepanjang zaman. Ini mungkin kerana popularity jenama dan penjenamaan ebouche ETA kepada nombor siri keluaran movement sendiri oleh pengeluar-pengeluar tersebut. Model chronograph Breitling dan diver Tudor “Submariner” masih menjadi buruan. Sementara Longines dress watch masih dianggap pesaing kepada Omega. Jenama-jenama lain yang menggunakan movement-movement ini terus memenuhi pasaran. Tanpa mengira rekabentuk mahupun fungsi, nilaian harga jenama-jenama ini semakin menurun mungkin disebabkan kurang popularnya jenama-jenama tersebut.
Rolex dan Omega
Jenama vintage Rolex dan Omega tetap diminati ramai di pasaran vintage Malaysia. Mudah ditemui di dada-dada blog, iklan jualan Internet dan pasar karat. Kedua-duanya menggunakan in-house movement. Walaupun tidak menggunakan in-house movement untuk semua model, dua jenama ini memang sentiasa menjadi pilihan. Model-model professional dari jenama Rolex dan Omega terus mendapat nilaian harga yang tinggi terutamanya jam tangan chronograph dan model-model “signature”. Rolex “sporty-dress watch” seperti 6694 akan berlegar di sekitar harga RM3,500-RM4,000 bergantung kepada kondisi. Model professional Rolex seperti Explorer, GMT-Master, Submariner, dan Sea-Dweller akan terus dinilai tinggi hampir menyamai harga model keluaran terbaru.
Model-model signature Omega yang terkenal seperti Seamaster, Constellation, dan Geneva-endorsed terus mengekori jenama Rolex. Jam vintage Omega yang mendapat pengiktirafan “Certified Chronometer” atau yang menggunakan “chronometer grade in-house movement” semakin naik harga. Model Constellation terutamanya akan berlegar di sekitar RM1,600 sehingga RM2,500 bergantung kepada kondisi dan “originality” setiap bahagian-bahagian jam tangan. Model Seamaster kunci (hand-wind) terus diburu terutamanya yang menggunakan “military dial”. Model military ini dijangkakan akan mencecah harga sekitar RM1,000 dan ke atas bergantung kepada kondisi. Model professional seperti Seamaster Diver, Flightmaster, dan Speedmaster akan terus meraih harga yang lebih tinggi dari harga sebelum ini. Dari segi fungsi dan operasi; jam tangan kunci Omega dan Rolex akan pasti dijual pada harga yang tinggi berbanding jam yang menggunakan movement automatik.
Omega "Chronometer Grade". Tetap menjadi buruan peminat jam vintage Swiss.
Sporty 70s, Military, dan Chronograph
Secara keseluruhan, mood pembeli jam vintage tertumpu kepada saiz yang lebih besar dan sporty. Oleh kerana itu model sports tahun 70an lebih mendapat permintaan dan menjadikannya lebih mahal. Jam-jam tangan sports seperti chronograph dan diver tahun 70an adalah lebih berbentuk radikal dengan saiz “case” yang besar, jarum-jarum rugged dan berwarna warni, serta dial yang berintegrasi dengan pelbagai fungsi. Bergantung kepada kondisi, jam-jam seperti ini dijangkan akan dijual melebihi harga-harga tahun sebelumnya.
Jam tangan military, samada bersaiz kecil mahupun besar akan tetap naik harga. Mungkin kerana rekabentuk dial military yang “versatile” memang sentiasa diminati. Jam military “sub-second” adalah model yang memang pasti memenuhi koleksi-koleksi pengemar jam vintage. Begitu juga jam tangan chronograph kunci. Samada menggunakan movement Venus, Valjoux, atau Lemania; harganya akan terus naik dan pasti mendapat permintaan yang tinggi.
Jam Tangan Vintage Jenama Jepun
Tidak dapat dinafikan, Seiko adalah jenama vintage yang paling digemari di dunia berbanding jenama Swiss. Mungkin ini adalah disebabkan keluarannya yang banyak (mass produced), kepelbagaian in-house movement, harga berpatutan, pelbagai model/siri, dan agak mudah didapati. Jenama Citizen dan Orient masih mendapat tempat dikalangan peminat-peminat jam tangan vintage. Namun, pasaran-pasaran jam vintage Malaysia lebih tertumpu kepada jenama Seiko.
Grand Seiko, King Seiko, dan Seiko Diver
Jam tangan siri Grand Seiko (GS) samada “dress watch”, “sporty-dress” dan diver adalah jam elit Seiko yang sentiasa mendapat tempat dikalangan pengumpul jam tangan vintage. Harga-harga jam tangan ini lebih kepada “willing buyer – willing seller”. Berapa harga mampu beli dan berapa harga hendak dijual. Ia tidak terlalu dipengaruhi oleh faktor pasaran kerana model-model ini tidak banyak dan sukar didapati. Secara rambang, model dress watch GS akan berlegar di sekitar RM6,000 sehingga RM8,000 sementara model diver GS boleh mencecah harga sehingga RM20,000. Untuk model GS dan King Seiko (KS) “Chronometer Certified”, harganya pasti melampaui jangkaan! Ini adalah model-model yang agak sukar didapati kerana memang dikumpul oleh peminat-peminat Seiko elit.
Model KS yang kebanyakannya adalah dress watch akan terus mendapat tempat dipasaran dan dijual agak tinggi sekitar RM1,200 sehingga RM2,000. Bergantung kepada kondisi, “originality” pada model KS akan menentukan harga terutamanya pada “caseback emblem”, “crown”, dan “buckle”.
Seiko diver, sudah pasti setiap peminat Seiko akan memilikinya. Semenjak 5 tahun kebelakangan ini, model Seiko diver mendapat permintaan yang tinggi dan harga melambung naik. Model-model yang paling digemari adalah 6105 dan 6309. Model 6105-6000 kini berlegar disekitar harga RM1,000 hingga RM1,200 sementara 6105-8000/8110 pula dijual antara RM1,600 sehingga RM1,900. Movement 6105B yang mempunyai “hacking function” lebih digemari sementara case besar pada model 8000/8110 memang diminati. Model 6309-7040/7049 turut mempunyai daya tarikan pada “turtle case”nya yang besar disamping dial yang unik berbanding model-model Seiko diver lain. Model yang dipanggil turtle ini dijual pada harga RM250 ke RM300 pada sekitar tahun 2006. Kini dijual di sekitar RM800 jika di tinjau di flea market Amcorp. Sementara di mudah.com di sekitar RM650 ke RM800. Bergantung kepada kondisi, model turtle ini dijangka akan naik harga lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Mungkin akan terus mendekati harga model 6105.
Anak itik berenang-renang... ada berani bawak Penyu Jepun ni berenang? Heppp... ada harga tau!
Model “slim turtle” atau “transition model” 6309-7290 sudah mula mendapat tempat di kalangan peminat Seiko Diver dan harganya dijangkakan akan mencecah RM500 ke RM600 dalam tahun ini dan mungkin lebih pada tahun-tahun akan datang. Begitu juga model 7002-7xxx yang menjadi asas kepada model SKX007 (7S26). Harga 7002 juga bakal berlegar di sekitar RM400 hingga RM500. Model 7002 Made In Japan lebih bernilai tinggi berbanding model yang dikeluarkan di Singapura dan negara lain.
Seiko Sports dan Model Signature
Seiko memang terkenal dengan model-model sportsnya yang pelbagai terutamanya di era penghujung tahun 60an dan 70an. Jam-jam vintage sports Seiko terutamanya chronograph 6139 dan 6138 telah menjadi buruan peminat-peminat di Malaysia semenjak tahun 2005. Ini menjadikan model-model ini semakin hari semakin laris. Harga pun ada yang mampu bertahan dan ada yang semakin naik. Model 6139 yang mempunyai pelbagai variasi kini berlegar pada harga RM450 sehingga RM600. Sementara model 6138 antara RM650 sehingga RM900. Model chronograph "Bullhead" adalah model yang dinilai tinggi dan berlegar di sekitar RM1,250 sehingga RM1,700. Sejak penghujung 2010, model-model 6139 dan 6138 semakin kurang di pasaran. Mungkin ramai peminat yang mengumpul jam-jam model Seiko yang memang cukup terkenal di era 70an. Namun, dari segi harga, model-model ini dijangkakan hanya akan bertahan dalam setahun dua lagi dan kemudiannya akan naik semula. Mungkin dua tiga tahun akan datang model-model chronograph ini dikira spesis yang makin pupus – kata saudara Hassan detikduabelas.blogspot.com.
Harga Seiko kepala lembu ni tak lama lagi mungkin sama dengan harga seekor lembu korban!
Seiko World Time/GMT, Navigator Timer, Bell-matic dan model signature lain juga sudah hampir pupus dari pasaran. Harga-harga untuk kondisi yang bagus bagi model-model ini pasti akan naik dan melampaui jangkaan pembeli. Ini adalah kerana jam-jam tangan model ini tidak lagi berlegar di pasaran – ramai yang menyimpannya. Model-model signature seperti Seikomatic-P, Pressmatic, dan Seiko Liner; juga sudah semakin kurang di pasaran. Harga bagi model-model ini mungkin ditentukan sendiri oleh penjual dan atas dasar kemampuan pembeli sendiri.
Citizen dan Orient
Kedua-dua jenama ini bukanlah jenama yang tidak popular di Malaysia, tetapi agak kurang diminati oleh pengumpul-pengumpul jam vintage. Jarang kita temui peminat-peminat tegar kedua-dua jenama ini. Walaupun hebat berbanding keupayaan jam vintage Seiko, jenama Citizen dan Orient tidak dinilai tinggi. Movement chronograph Citizen Mickey Mouse adalah lebih bagus dari Seiko Bullhead, namun jurang harganya memang besar. Citizen dinilai kurang. Begitu juga Orient. Tidak bergantung kepada model, signature, dan “rare” nya; harga-harga vintage Citizen dan Orient akan tetap ditakuk lama malahan mungkin akan jatuh. Model-model dress seperti Citizen Eagle dan Orient SK akan berlegar di sekitar RM200 ke RM350. Model chronograph Citizen pula akan dijual pada harga sekitar RM400 hingga RM500.
Kesimpulan
Faktor penentu pasaran jam tangan vintage samada jenama Swiss atau Jepun adalah bergantung kepada popularity, rarety, movement, dan harga. Kebanyakan pengumpul jam tangan vintage Swiss lebih minat kepada jenama. Bukan pada movement dan harga. Asal Swiss Made, ada nilai. Betul brader? Namun nilai sesebuah jam tangan Swiss vintage tidak lari dari mood atau minat pasaran. Jam tangan vintage dress watch kini semakin hari semakin kurang diminati. Harganya juga semakin murah. Di tahun 2005/06 harga Titoni kondisi baik dijual sekitar RM550 hingga Rm600. Kini hanya di sekitar RM300 ke RM350. Jam tangan vintage Swiss yang bersaiz besar, sporty, military, chronograph mula diminati walaupun harganya agak kurang stabil. Untuk jam Seiko vintage, jam yang dinilai tinggi adalah jam diver, signature, dan sports yang bersaiz besar. Jam-jam tangan Seiko 5 kini semakin merudum harganya. Secara keseluruhan, jam tangan sports dan yang bersaiz besar kini mendapat tempat di kalangan pengumpul-pengumpul jam vintage.
Itu ini naik harga! Harga roti canai... teh tarik... tapi jam Titoni turun harga.
“Yang pastinya jam vintage berkuasa bateri memang takde nilai. Ada pun harga ciput-ciput jeh. Kalau ada pun Rolex Oyster-Quartz. Yang lain tu hampeh! Tak boleh jual harga tinggi. Mana ada halege! Kalau tokeh tak mau. Saya simpan bikin pusaka. Teringat aku cerita Bujang Lapuk. Jam lama macam surat kabar lama. Ada harga. Tapi wa bili bukan mau cilita...” – thetick-thetick