Monday 6 July 2020

OTW: Seiko Chronometer

Industri pembuatan jam bermula di negara Switzerland. Jenama-jenama besar yang lahir dan bersaing di sana selama ratusan tahun telah mewujudkan satu standard bagi memberi pengiktirafan kepada perakam waktu atau jam yang dihasilkan di kalangan mereka. Bermula dari marine chronometer yang digunakan untuk tujuan pelayaran (marine navigation) sehinggalah jam tangan; pengeluar-pengeluar di Switzerland telah berlumba untuk mendapat pensijilan dan pengiktirafan untuk hasil-hasil keluaran mereka. Pensijilan ini dibuat oleh institusi bebas yang dilantik bagi menguji ketepatan perakam waktu yang hasilkan. Ia dikenali sebagai Certified Chronometer. Bagi merekodkan julat ketepatan (accuracy range) perakam waktu yang diuji, perbandingan dengan waktu sebenar digunakan sebagai rujukan. Sebelum wujudnya modern atomic time clock, bacaan waktu sebenar dikendalikan oleh balai cerap astronomical observatory. Keupayaan observatory merekodkan bacaan waktu sebenar melalui data-data cerapan astronomi telah melayakkan mereka untuk mengendalikan pensijilan dan penarafan chronometer. Kepada pengeluar-pengeluar yang berjaya dalam ujian dan mendapat pensijilan, mereka layak untuk mencetak perkataan Certified Chronometer pada dial-dial jam tangan mereka. Antara nama-nama besar yang mendominasi pensijilan ini adalah Rolex, Patek Philippe, Omega, Zenith dan Longines.


Seiko adalah satu-satunya pengeluar dan jenama bukan Swiss yang pernah mendapat pensijilan chronometer di Switzerland. Pensijilan ini telah dibuat di dua observatory yang diiktiraf. Penglibatan ini melayakkan Seiko untuk bertanding dengan jenama-jenama besar Swiss berdasarkan scoring dan ranking bagi ketepatan movement-movement jam yang diuji. Penglibatan Seiko juga telah menggugat industri pembuatan jam tangan di Switzerland. Tahun 1967-1968 adalah tahun Seiko Chronometer apabila gergasi Jepun ini berjaya menundukkan nama-nama besar Swiss. Terkesan dari kejayaan Seiko inilah jenama-jenama besar Swiss telah menubuhkan C.O.S.C. (Contrôle Officiel Suisse des Chronomètres). Namun, standard yang diguna-pakai Seiko lebih tinggi berbanding Swiss C.O.S.C. Kepada peminat-peminat Seiko nantikan blog posting seterusnya mengenai Seiko Chronometer. Artikel agak panjang dan dibahagi kepada dua bahagian. Ia merangkumi fakta-fakta, keterlibatan pelbagai institusi, standard-standard yang digunakan, sejarah penglibatan, dan pencapaian Seiko sebagai pengeluar jam-jam tangan bertaraf Superior Chronometer. - thetick-thetick2020