Saturday, 17 April 2010

Pendapat: Seiko vs. Swiss

“Seiko jam murah. Swiss jam mahal. Betul ke? Jam Swiss tahan lama, jam Seiko cepat rosak. Bagi aku ini semuanya rhetoric belaka. Bukan aku kata Swiss tu bagus, tapi Seiko memang baik. Sejarah penciptaan teknologi jam zaman moden telah membuktikan kehebatan Seiko. Jam Swiss, memang jam elit (bukan semua!) namun pembaharuan yang ada pada teknologinya bukanlah sesuatu yang baru, cuma diperbaharui dari segi rekabentuk, bahan-bahan asas, dan kuasa simpanan (power reserve). Jenama Swiss memang gah di pasaran, Seiko pula adakalanya sukar nak jumpa di pasaran. Kini Seiko tergolong dalam kategori pengeluar jam Haute Horlogerie...sedangkan segelintir sahaja pengeluar jam Swiss di kelompok yang sama. Seiko’s superior technology has always been marginalized by strong proposition of Swiss, not anymore!”- thetick-thetick.


Sebelum saya memulakan komentar mengenai Seiko dan Swiss; yang mana bagus, yang mana lebih bagus, elok kita ketahui latarbelakang atau sejarah ringkas kedua-duanya yang mewarnai ‘dunia horologi’ selama ini.

Switzerland (Swiss) Pusat Horologi Sedunia
Sejarah pembuatan jam di Switzerland bermula lebih dahulu dari Seiko, di sekitar tahun 1700. Asas teknologi pembuatan jam (dinding, datuk, meja, dan poket) dan jam tangan memang berasal dari Switzerland. Banyak nama-nama “inventor” yang terpahat dalam sejarah pembuatan jam berasal dari Switzerland. Mereka pada mulanya bergiat di Switzerland atau negara di sekitarnya seperti Perancis, German dan Itali. Tidak kurang pula dari England. Kini segalanya tertumpu di Switzerland di sekitar Geneve, Le Locle, Schaffhausen, Minerva, dan Valley de Joux. Banyak jenama Perancis yang berhijrah ke Switzerland seperti Piaget, Jaeger-LeCoutre, dan Cartier semasa permulaan “Golden Years” teknologi pembuatan jam. Kini jam jenama asal dari Itali seperti Bvlgari dan Panerai turut mengikut jejak yang sama. Cuma segelintir jenama pelopor jam yang masih kekal di German seperti A. Lange & Sohne, Glashutte Original, dan Muhle Glashutte yang semuanya berpusat di bandar Glashutte. Graham yang berasal dari England turut serta dan diikuti oleh syarikat USA seperti Vulcain dan Ball.

Seiko, Dikagumi Pengeluar Swiss
Jenama negara matahari terbit - Seiko mula digunakan dan dikenali di pasaran dunia pada sekitar tahun 1924 melalui pengenalan jam tangannya. Sebelum Seiko, jenama Seikosha telah lama digunakan bagi jam-jam dinding, meja (desktop), poket, dan model peralihan (transition model) sebelum adanya jam tangan. Sejarah Seiko bermula pada tahun 1881 di Daerah Ginza di Tokyo, Jepun. Nama asal perusahaan pembuatan jam ini diambil sempena nama pengasasnya Kintaro Hatori iaitu K. Hattori & Co., Ltd., yang kini dikenali sebagai Seiko Corporation of Japan. Seiko amat dikenali dengan kesungguhan dan ketelitian pembangunan teknologinya sejak mula dikenali di pasaran. Ada antara keunikan teknologi Seiko yang telah berjaya merintis perubahan di kalangan pengeluar jam Swiss. Malahan, ada teknologi-teknologi jam Seiko yang tidak dapat ditandingi oleh pengeluar jam dari Switzerland. 'Master watchmaker’ Seiko juga di hormati oleh pakar-pakar di Switzerland.

Di dalam memberikan pandangan atau komentar mengenai Seiko dan lawannya dari Switzerland atau lebih dikenali sebagai jam Swiss, kita tidak boleh lari dari rakaman sejarah mengenai teknologi-teknologi Seiko yang menjuarai dan menandingi keupayaan teknologi Swiss. Turut saya sertakan, beberapa fakta mengenai jam-jam jenama Swiss yang kita sedia maklum akan popularitinya. Persoalan dan fakta berikut adalah berdasar pengamatan saya selama beberapa tahun mengumpul jam Seiko dan Swiss, pengetahuan dari forum Internet, dan petikan dari artikel-artikel majalah jam antarabangsa.

Tahukah Anda Bahawa...

1. Grand Seiko Hi-Beat 36000 dan Zenith El-Primero adalah dua engine atau movement jam tangan mekanikal yang berdetik pada tahap paling tinggi iaitu 10 ‘vibration’ atau ‘beat’ setiap saat (10bps – beat per second). Pada tahap 36,000bph (10bps x 60 saat x 60 minit) movement jam itu mampu diskalakan pada 1/10s (1/10th of a second) yang sememangnya paling tepat untuk sukatan ‘chronograph’. Zenith, jenama pengeluar dari Switzerland menamakan movement ini sebagai ‘El-Primero’ yang bermaksud ‘the only one atau satu-satunya’. Namun, ia bukanlah ‘satu-satunya’ movement yang mempunyai tahap 36,000bph di dunia. Gergasi dari Jepun – Seiko berjaya menyamai keupayaan El-Primero dan berjaya mendapat pengiktirafan standard COSC (Contrôle Officiel Suisse des Chronomētres) pada penghujung tahun 1960an yang diguna di dalam model Grand Seikonya. Jenama Grand Seiko bukanlah murah. Ia cuma dijual di Jepun dan merupakan model yang paling canggih dan paling exclusive di antara produk-produk keluaran Seiko. Untuk model vintage Grand Seiko Hi-Beat 36000, ia bukan sahaja mahal, malah sukar ditemui. Bahkan nilai atau harga vintage nya lebih tinggi dari harga vintage jam Swiss di kategori jam kalendar sezaman dengannya seperti Rolex, Gerard Perrageux, dan Omega. Jam tangan Rolex yang terkenal di Asia sehingga kini tidak pernah mengeluarkan movement yang berkeupayaan 36,000bph (hanya setinggi 8bps/28,800bph). Rolex pernah menggunakan movement El-Primero di dalam model Cosmographnya pada suatu ketika dulu.

Movement Grand Seiko 6148, setanding dengan El-Primero

2. Tatkala jam jam tangan buatan Switzerland memerlukan pemakainya memutar ‘crown’ bagi menggerakkan jarum kehadapan dan kebelakang untuk menukar kalendar haribulan, Seiko sudah pun menggunakan teknologi ‘quick-set date’ melalui ‘lever setting stem’ yang mana ‘crown’ jam ditarik keluar untuk memutar plate haribulan (Calendar Plate) tanpa mengganggu pergerakan movement dan jarum jam! Ada pula model Seiko yang hanya memerlukan butang khas (date pusher) ditekan untuk menukar haribulan (seperti model Bellmatic 4006 dan Chronograph 6139). Cara penukaran kalendar secara manual oleh Seiko ini telah menjadi ikutan pengeluar-pengeluar jam Switzerland sehinggalah sekarang.

Bell-matic 4006 punyai butang tekan penukar haribulan yang juga diguna untuk 'alarm setting'

3. Movement jam chronograph Seiko automatic 6319 yang dilancarkan pada tahun 1969 adalah movement chronograph yang pertama menggunakan “vertical clutch” ataupun “column wheel” untuk operasi ‘zero reset’ yang lebih stabil dan tepat. Berbanding penggunaan ‘train wheel’ di dalam movement dari pengeluar Switzerland seperti Valjoux, Lemania, Lejoux Perret, Venus, dan lainnya; chronograph Seiko lebih menyerlah dan menjadi juara pasaran terutamanya di sekitar tahun 1970an. Antara model chronograph Seiko yang di minati pengumpul jam vintage adalah model automatic 6139, 6138 dan 7016. Antara jam Swiss chronograph yang paling popular pada zamannya adalah Rolex ‘Daytona Cosmograph’ yang menggunakan movement Valjoux 7730, Lemania, Zenith El-Primero dan Venus; Omega Speedmaster banyak menggunakan movement Lemania; dan TAG Heuer Monaco pula menggunakan ‘in-house movement’ Calibre 11 yang sebelumnya dibangunkan oleh Heuer – Leonidas. Pengeluar-pengeluar movement chronograph dari Switzerland turut ikut menggunakan ‘column wheel’ Dan boleh di dapati pada movement terkini seperti Valjoux 7750 dan ETA 2894 yang terdapat di dalam kebanyakkan jenama jam chronograph Swiss seperti Breitling, TAG Heuer, Longines, Tissot, Omega, dan Hublot.

Seiko 'column wheel' (dalam bulatan), menjadi ikutan pengeluar movement dari Switzerland

4. Seiko adalah satu-satunya pengeluar jam mekanikal yang mempunyai paling banyak variasi “chronograph movement” berbanding pengeluar jam Switzerland. Dari awal pengeluaran “column wheel chronograph” 5717, Seiko telah mengeluarkan versi mekanikal yang lebih mantap dan stabil iaitu movement 5718 dan 5719, 6138, 6139, siri 7015 hingga 7018, 45899, dan yang terkini siri 5R86 ‘Spring-Drive Chronograph’. Pengeluar jam Switzerland kebanyakkannya menggunakan movement Valjoux (kini dikenali ETA Valjoux) seperti 7750, ETA 2894, Lemania dan segelintir yang lain. Ia digunakan oleh sebahagian besar jam mekanikal chronograph Swiss yang berada di pasaran seperti Tag Heuer, Omega, Longines, Breitling, Panerai, dll. Mereka menamakan engine asas atau ‘ebouche’ Valjoux yang adakalanya diubah dengan nama mereka sendiri. Cuma golongan 'Haute Horlogerie' sahaja yang menggunak movement sendiri (in house movement) seperti Audemars Piguet, Piaget, Breguet, Blancpain, Jaeger LeCoutre, Patek Philippe, dan beberapa nama elit yang lain.

ETA Valjoux paling banyak digunakan dalam jam Chronograph buatan Swiss

5. Tidak banyak pengeluar jam yang mengeluarkan movement atau enginenya sendiri (in house movement). Seiko adalah satu-satunya pengeluar jam tangan yang tidak pernah menggunakan movement jam atau sebahagian dari ‘mechanisme’ dari pengeluar jam yang lain sejak penubuhannya sehinggalah sekarang. Bahkan, telah mengeluarkan paling banyak movement jenis quartz dan mekanikal. Lihat sahaja model-model yang ada dipasaran sekarang ini, Seiko menggunakan lebih dari 20 jenis movement yang berbeza untuk model-model dan kategori jam tangannya. Dari istilah Swiss Horology, Seiko layak mendapat gelaran Haute Horlogerie kerana segalanya kajian & pembangunan, penyediaan bahan, pembuatan komponen, dan ‘assembly’ dibuat oleh syarikat Seiko sendiri. Ia setanding dengan jenama elit Swiss yang berstatus Haute Horlogerie. Kebanyakkan jam tangan jenama Switzerland tidak menggunakan movement atau engine sendiri. Samada jam quartz mahupun mekanikal, kebanyakkan jam ‘Swiss Quartz’ menggunakan engine ‘ETA’ ataupun ‘RONDA’. Sementara jam ‘Swiss Mechanical’ kebanyakkannya menggunakan engine ETA. Yang paling banyak digunakan adalah ETA 2824 dan ETA 2836 (28,800bph) untuk konfigurasi jam calendar dan GMT. Sementara jam chronograph kebanyakkannya menggunakan konfigurasi Valjoux 7750 dan ETA 2894. Seiko – setiap siri dan model, mempunyai movement yang tersendiri.

ETA movement, paling banyak digunakan oleh jam jenama dari Switzerland. Gambar kecil: logo ETA pada 'movement base plate'.

6. Ketika sekumpulan pengeluar jam Swiss sibuk mereka-cipta dan memajukan engine jam quartz di tahun 1960an, Seiko terlebih dahulu memasarkan jam tangan quartz iaitu ‘Seiko Astron’ pada tahun 1968. Kestabilan dan ketepatan jam Seiko quartz telah menyebabkan banyak pengeluar jam Swiss mengeluarkan jam jam tangan quartz yang menjadi satu trend di pertengahan tahun 70an sehinggalah penghujung 90an. Kebanyakkan jam tangan quartz jenama Swiss menggunakan movement quartz ETA ataupun Ronda. Jenama seperti Omega, Longines, Tissot, TAG Heuer, Rado, Movado, dan Swatch semuanya menggunakan engine yang sama. Seiko? Ia menggunakan movement quartz ‘in-house’ yang dipelbagaikan mengikut fungsi. Jam tangan TAG Heuer Golf yang dibangunkan bersama dengan juara golf dunia Tiger Woods menggunakan engine Ronda quartz yang harganya tidak sampai 10% dari harga jualan jam tangan tersebut! Namun, kerana jenama, Swiss Made, ‘goodwill’ Tiger Woods, harganya tinggi. Engine quartz Seiko secara keseluruhannya lebih baik dari engine quartz Swiss Made yang ada di pasaran. Cuma model terbaik Seiko Quartz agak terhad pengeluarannya.

ETA dan Ronda Quartz. Movement yang paling banyak di guna jenama Swiss Quartz.

7. Jarum saat jam mekanikal bergerak secara ‘perpetual’ berdasarkan kestabilan ‘balance wheel’. Jika jam Swiss menggunakan ‘tourbillon’ bagi menstabilkan tarikan graviti pada ‘balance wheel’ untuk memberi ketepatan masa. Seiko menggunakan teknologi ‘Spring-Drive’ yang menggunakan ‘tri-synchro regulator’ yang mampu mengawal pergerakan ‘balance-wheel’ secara lebih konsisten berbanding jam Swiss tourbillon. Spring-Drive memastikan jarum saat berjalan tanpa henti atau terhenti-henti. Pergerakkan jarum saatnya yang halus adalah lebih cantik daripada Swiss ‘perpetual motion’. Ia digelar ‘glide motion’. Setelah engine Hi-Beat 36000, engine Seiko Spring-Drive pula melepasi tahap standard COSC. Ketepatan engine Seiko Spring-Drive belum lagi dapat disaingi pembuat-pembuat jam tangan Switzerland. Sila lawat http://www.seikowatches.com/

Movement Seiko Spring Drive, mencabar standard COSC

8. Seiko 'Ananta Chronograph' yang menggunakan movement automatic ‘Spring-Drive Chronograph - 5R86’ adalah jam chronograph yang paling tepat di dunia di masa ini. Ia mempunyai kiraan chronograph sehingga 12 jam dan ‘interval time’ 30 minit. Movement '5R86' yang dilengkapi dengan mekanisma waktu pendua 'GMT' dan penunjuk ‘power reserve’ turut melepasi tahap COSC Switzerland. Ia merupakan jam chronograph yang mempunyai teknologi termaju di dunia setakat ini. Walau bagaimana canggih sekalipun engine 5R86 ini, ia tetap mengekalkan penggunaan ‘colum wheel’ yang mana Seiko adalah pengeluar yang mula-mula memperkenalkannya dan menjadi ikutan pembuat jam di Switzerland dan German.

Ananta, in Sanskrit means ‘the infinite’

9. Seiko adalah jenama yang paling popular di kalangan penyelam-penyelam ‘Scuba' professional di dunia. Selain dari Rolex Submariner dan Sea-dweller, Seiko juga adalah pengeluar jam penyelam atau 'Divers’ Watch” yang menggunakan ‘in-house’ movementnya sendiri. Sejak tahun 90an, Omega Seamaster menggunakan khidmat ‘ETA movement’ di dalam kebanyakkan siri jam jam divernya. Begitu juga jenama jam diver ‘Orange Dial’ yang pertama di dunia – DOXA turut bergantung kepada keupayaan engine ETA. Sementara itu, jam tentera laut elit Itali – 'Panerai Luminor Marina'  bergantung kepada movement ETA dan Unitas 6750. Kerana itu Seiko dihormati dan menjadi pilihan penyelam-penyelam professional. Bukan hanya dkagumi kerana spesifikasi, keupayaan movement, variasi dan daya ketahanannya sahaja malah diberi gelaran yang sememangnya menjadi tarikan pengumpul jam diver. Antaranya Seiko Submariner, Tuna Can, Tuna Flake, Monster, Samurai, dan Sumo. 'Seiko Orange Monster' yang setanding dengan DOXA Sub-500T adalah jam yang paling banyak dipakai oleh ‘Dive Master’ di dunia.

Seiko 'Black Monster'. Walau tidak secerah 'Super Luminova' ciptaan Panerai,
kecerahan 'Lumibrite' dikagumi penyelam Scuba.

Kesimpulan
Banyak lagi fakta mengenai Seiko yang menjadi igauan pembuat jam Swiss. Jam jenama Seiko bukanlah jam ‘second class’ atau ‘low class’ yang sering dipandang rendah oleh peminat jam di Asia, terutamanya di Malaysia. Sejarah telah merakam kemampuan Seiko untuk mempengaruhi pembangunan teknologi pembuatan jam tangan dunia. Mungkin kerana strategi pemasaran yang menyeluruh di mana Seiko menempatkan kebanyakkan jenamanya untuk kelas pasaran bawahan dan pertengahan (lower and middle market), ia dianggap setara dengan jenama senegaranya seperti Orient, Citzen, dan Casio. Model-model elit Seiko kebanyakkannya terdapat di pasaran Jepun, USA dan Eropah. Kenapa? Kerana orang Asia tidak memandang tinggi keupayaan Seiko itu sendiri. Tahukah anda bahawa setiap pengumpul jam di USA dan Eropah pasti mempunyai satu jam Seiko model elit? Kalau di Asia, semua pengumpul jam tangan pasti ada sekurang-kurangnya satu Rolex. Dari segi teknologi, Seiko boleh dikatakan setara dengan Rolex. Cuma harga dan penilaian peminat jam tangan di Asia agak berlainan. Seiko Spring-Drive, harga ‘entry model’nya adalah serendah $3,500. Lebih mahal dari entry model jam Rolex! Dan jenama elit Seiko, iaitu 'Credor' mempunyai model “mechanical Sonnerie” (atau jam yang mengeluarkan nada dering setiap 5 minit, 15 minit, 30 minit, dan 1 jam dengan irama berlainan) adalah antara jam ‘minute repeater’ yang termahal di dunia dengan harga permulaan $350,000. Rolex bagaimana?

“Sebab Rolex jenama popular, ia menjadi champion untuk model tiruan seantero dunia. Boleh dikatakan hampir semua model jam Rolex telah diciplak dan di jual sebagai jam tiruan. Ada grade Swiss yang menggunakan movement ETA asli, AAA dengan movement Miyota Jepun, AA dan grade bawahan menggunakan penghasilan movement tiruan ETA yang diperbuat di negara China, dan ada yang menggunakan quartz movement sedangkan Rolex tidak pernah mengeluarkan model mengunakan engine quartz. Jam electro-mechanical Rolex yang kebetulan dinamakan Oysterquartz sudah ditamatkan pengeluarannya di awal tahun 2000. Namun, Rolex tetap Rolex. Pernahkah anda bertemu dengan model elit Seiko tiruan? Patek Philippe, Omega, Breguet, Audemars Piguet, Piaget, Bvlgari, Cartier dan lain jenama elit Swiss banyak tiruan! Tak percaya? Rajin-rajinlah berkawan dengan ‘Mat Bangla’ atau ‘Mat Burma’ penjual jam tiruan di Petaling Street. Kalau malu, pergi beli di laman-laman web yang menjual jam replica”.

Pendapat aku – thetick-thetick

13 comments:

  1. Betul bang. Ramai orang pandang lekeh dengan Seiko. Malah seller jam luxury tak pandang Seiko sebagai jenama hebat. Artikel ni boleh buat orang buka mata yang kalau selama ni terlalu fanatik sangat dengan Swiss.

    Macam yang pernah dikatakan tak semua jam Swiss itu berbaloi. Mahal disebabkan jenamanya saja. Seiko dengan movement in-house boleh dijual dengan harga murah & Swiss yang guna ETA jual lebih mahal. Pada saya, itu hanya menang jenama.

    Teknologi movement Seiko seperti yang diterangkan tu memang suatu yang membanggakan. Seiko teraju utama dalam perkembangan teknologi movement sampai menjadi ikutan Swiss. Tapi biasalah, orang ego tinggi, mana mahu tunduk...

    Macam yang abang katakan tu betul. Kita boleh tengok model2 vintage Seiko menggunakan movement yang berlainan. Kalau tengok model vintage Swiss kebanyakannya enjinnya sama ja. Cuba bandingkan antara model vintage Swiss winding pelbagai jenama.... sama saja. Tiada kelainan ditampilkan mereka hanya pada casing & dail saja.... jantungnya tetap sama. Letaklah nama depa kat movement tu.... Harga pula jauh lebih tinggi.... berbaloikah? Tepuk dada tanya selera....

    Elok abang buat lagi artikel camni. Tak semua orang tahu. Pendapat saya.... Seiko is the best.

    ReplyDelete
  2. aku ada rolex, aku ada seiko... hari hari aku pakai seiko... sesekali pakai omega, he he he...
    tapi yang peliknya, rolex aku yang ribu-ribu original orang kata aku beli kat PS boutique. rasa terhina pulak bila pakai rolex... cisssss

    ReplyDelete
  3. Haha... tp best gak bang. Kita tak risau kalau orang target. Org kata jam PS pun takpa. Kita ja tau jam tu ori. Dari pakai jam PS & mengharap pula orang anggapnya ori.... yg hakikatnya tak pun. Ehehehe....

    ReplyDelete
  4. Bro

    Aku dah mula berminat dengan Seiko ni, tambah lagi baru baru ni berjumpa dengan pakcik aku, jam seiko dia dah 25 tahun,masih mantap dan semua dokumen dia masih simpan lagi.

    Black monster to berapa harga pasaran ye, jika masih ada production la.

    ReplyDelete
  5. nice info. sy jadikan blog ini,sbg tempat utk sy menambah ilmu2 mengenai jam =)

    ReplyDelete
  6. terbaik blog demo..nk tyn ckit, macam mna nk bagi masa jam berjalan dengan betul?
    jam yang saya pakai selalu je cpat wktunya bergerak...bla sy betulkan 2, 3 jam lpah 2 mesti jdi cpat dri waktu sebenar..tlg yee.jam diastar rado...

    ReplyDelete
  7. adakah jam rolex/tudor model lama juga menggunakan engine ETA?

    ReplyDelete
  8. Jam Rolex hanya menggunakan movement in house Rolex. Tudor cuma menggunakan movement ETA. Tudor adalah subtitute brand kepada Rolex. Macam Alba adalah subtitute brand kepada Seiko. Namun Alba menggunakan sepenuhnya movement Seiko.

    ReplyDelete
  9. Arham... jam kalau cepat atau lambat perlu tuning

    ReplyDelete
  10. Assalam bro.. Saya ada sebuah jam tanya auto, fossil ME3028, rosak sbb terjatuh. Boleh bro rekomenkan org yg pandai baiki jam auto, kalau ada bro kenal, esp area kl... Syg jam ni sbb hadiah dr isteri. Ini no saya, 0125350440. Harap bro tak keberatan pm saya ya... Tqvm bro

    ReplyDelete
  11. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  12. Purchase your authentic brand name watch for a 75% discount over at JacobTime.

    ReplyDelete